KOTA KINABALU: “Pendedahan yang mengejutkan dan mengecewakan semua ahli peladang”. Itu komen Ahli Jemaah Pengarah, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pitas Mukram Hj Dakurah ketika diminta mengulas kenyataan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Persidangan Parlimen pada 2 Disember lalu mengenai subsidi baja padi yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara (KAN) pada tahun 2018 yang menyaksikan kerajaan mengalami kerugian ratusan juta ringgit.
Anwar yang memetik laporan Ketua Audit Negara berkata, 7 ribu pesawah yang sudah meninggal masih mendapat subsidi dan insentif berjumlah RM57.9 juta dan yang tidak wujud dalam sistem mendapat subsidi sekitar RM28.9 juta dan nombor Kad Pengenalan diragukan sebanyak RM108.8 juta.
Mukram berkata, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) selaku agensi pengurus, khususnya Haji Hamzah Bahari Ketua Pengarah, yang memimpin LPP pada masa itu, perlu dipertanggungjawab sepenuhnya terhadap kerugian akibat ketirisan dalam pengurusan skim subsidi dan insentif pesawah yang berlaku pada tahun 2018.
Menurutnya, ahli-ahli peladang seakan-akan tidak percaya akibat ketirisan tadbir urus ini, menyebabkan pembaziran wang rakyat sehingga lebih RM195 juta, yang sepatutnya digunakan untuk membantu peladang.
“Yang kita hairan ialah kenapa tiada pegawai LPP yang ditugaskan di Pertubuhan Peladang (PP), LPP Negeri dan ibu pejabat LPP yang digantung atau dikenakan tindakan akibat salah tadbir urus Skim Subsidi dan Insentif Pesawah.
“Sedangkan senarai pesawah dan penerima yang diragui itu adalah dari mereka (pegawai LPP)”, tegasnya.
Mukram berkata, Hamzah dengan segera menggantung operasi NAFAS pada 1 Jun 2018 semasa beliau KP LPP, dengan alasan berlaku salah laku pengurusan (yang masih tidak dibuktikan sehingga kini), tetapi ternyata membiarkan salahlaku tadbir urus oleh agensi yang beliau terajui ini berterusan tahun demi tahun dan meletak kan kesalahan kepada NAFAS.
Menurutnya, NAFAS yang juga disebut oleh Anwar bukan pihak yang bertanggungjawab menentukan senarai penerima bantuan subsidi dan insentif tersebut. Dana yang dimaksudkan oleh Anwar merupakan dana kerajaan dan NAFAS hanya dilantik oleh kerajaan sebagai pembekal subsidi.
“Ketirisan dan salah tadbir urus ketika zaman Hamzah menjadi KP LPP adalah punca mengakibatkan ketirisan dana kerajaan beratus juta ringgit itu”, tambahnya.
“Hamzah sebagai KP LPP pada masa itu sebenarnya gagal melihat keutamaan tugasnya. Sepatutnya proses penyampaian bantuan kerajaan dibawah agensi yang diketuainya perlu diurustadbir dengan baik sebaliknya dia sibuk mencari kesalahan di NAFAS hinggakan ketirisan dana rakyat berlaku”
“Justeru, Hamzah perlu bertanggungjawab terhadap kelemahan ini”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menggesa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya pihak berkuasa berkaitan agar dapat menyiasat dan mengambil tindakan terhadap individu yang menjadi dalang disebalik ketirisan dana kerajaan itu.-pr/BNN