KOTA KINABALU: Kenyataan Timbalan Ketua Wirawati WARISAN, Jo-Anna Sue Henley Rampas yang menyatakan Warisan akan meneruskan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan dan pembangkang yang lain agak melegakan tetapi mempertikaikan kredebiliti Dato’ Seri Anwar sebagai Ketua Pembangkang adalah keterlaluan.
Parti Keadilan Rakyat Sabah tidak berniat menimbulkan isu dengan rakan sekutu dari WARISAN, namun saya rasa terpanggil memandangkan kenyataan Jo-Anna dilihat sangat kasar dan tidak beradab.
Mungkin beliau baru masuk dalam arena politik tidak begitu mengenali ahli-ahli politik lain yang berjuang melawan rejim Barisan Nasional dahulu. Namun beliau sepatutnya berterimakasih dengan perjuangan Dato’ Seri Anwar yang telah membuka ruang dan merintis jalan kepada pimpinan Warisan untuk merampas Sabah.
Kredibiliti serta kebolehan Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah teruji dan dikagumi bukan sahaja oleh rakan dan seteru politik dalam negara malah beliau diiktiraf antara terbaik oleh ahli-ahli politik seluruh dunia.
Saya ingin menggesa pimpinan WARISAN mencari titik persamaan bersama Pakatan Harapan dan pembangkang lain untuk menjadi pembangkang yang berkualiti seterusnya mengembalikan kepercayaan rakyat sebelum mendepani Perikatan Nasional pada Pilihanraya Umum ke-15 akan datang.
WARISAN tidak perlu meragui kemampuan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga hilang kepercayaan terhadap beliau sebaliknya WARISAN perlu berusaha mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti mereka yang telah ditolak rakyat Sabah baru-baru ini.
Junaidah Makku
_Ketua Srikandi_
_Parti Keadilan Rakyat Sabah_