PUTATAN: Kerjasama berterusan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah penting untuk memupuk budaya perihatin di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya berkata, menerusi konteks membantu golongan kurang berkemampuan, perkara itu merupakan elemen penting bagi menyampaikan corak perkhidmatan sedia ada.

“Kita sebagai rakyat Sabah, rakyat Malaysia haruslah bersyukur nikmat yang ada dan juga selalu perihatin kepada golongan-golongan yang mungkin kurang bernasib baik berbanding dengan diri kita.

“Menjadi satu warga yang bertanggungjawab, di mana kita bertanggungjawab untuk memelihara kesejahteraan, kemakmuran dan juga perpaduan di dalam negeri kita yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, berbilang agama dan pelbagai lapisan tahap sosio ekonomi.

” Jadi marilah kita sama-sama dalam melakukan, melayan hobi atau pun minat-minat kita, tetapi dalam masa yang sama kita membantu kerajaan untuk memupuk budaya prihatin dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N 24 Tanjung Keramat berkata demikian selepas merasmikan program Konvoi Amal Santai Borneo Bikers (SSB) di perkarangan Dewan Sri Putatan, Putatan, hari ini.

Hadir sama adalah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN N 24 Tanjung Keramat, Sufian Matin dan Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Mahadzir Abdul Majid.

Terdahulu, dalam majlis berkenaan, Shahelmey merakamkan penghargaan kepada para peserta yang terlibat dengan program berbentuk riadah dan kebajikan itu.

‘Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah atas usaha yang baik. Ini merupakan satu usaha dimana kita menikmati minat yang ada di dalam diri kita disulami dengan melakukan perkara-perkara kebaikan ataupun sukarelawan dan juga berunsurkan kebajikan.

“Ini sesuai dengan tema kementerian saya iaitu memupuk budaya prihatin dan bertanggungjawab,” katanya.-pr/BNN