KOTA KINABALU: Keputusan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) memproklamasi darurat setelah berpuas hati dengan laporan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia berkenaan keadaan semasa COVID-19 yang semakin meruncing dan membimbangkan adalah selaras dengan kehendak Artikel 150(1) Perlembagaan Persekutuan.

Exco Armada Nasional, Johainizamshah Johari berkata, Artikal 150 (1) menyatakan bahawa satu proklamasi darurat boleh dibuat sekiranya YDPA berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam.

Walau bagaimana pun katanya, terdapat suara-suara sumbang yang menolak dan mempertikaikan titah YDPA, seolah-olah cuba mempersoalkan kuasa dan budi bicara YDPA dalam perkara ini.

Beliau berkata, dalam perlembagaan jelas menyatakan bahawa sekiranya YDPA ‘berpuas hati’, maka secara jelas dan nyata ini merupakan keputusan baginda dan berpuas hati dan bersetuju mengisytihar darurat setelah mengambil kira faktor semasa.

“Mengapa pihak pembangkang masih mempersoalkan keputusan darurat oleh YDPA ini?

“Apabila YDPA menolak nasihat kerajaan untuk mengisytihar darurat pada Oktober tahun lalu, suara-suara yang sama juga menerima dan menjunjung titah baginda.

“Namun apabila baginda membuat keputusan untuk mengisytihar darurat semalam, mereka mengambil pendirian berbeza.

“Inilah hipokrasi terbesar yang terserlah di kalangan pimpinan parti pembangkang.

“Mereka langsung tidak menghormati bidangkuasa dan budi bicara YDPA, malah berani mempersoalkannya! Adakah ini satu contoh yang baik yang boleh diikuti dan diteladani rakyat?”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Johainizamshah berkata, sikap jelik sesetengah pemimpin politik seperti ini sebenarnya yang menjadi punca penolakan rakyat terhadap ahli politik, yang pada pandangan mereka, tidak menghiraukan keadaan rakyat dan hanya berminat untuk merebut kuasa dan mengejar cita-cita peribadi demi kepentingan sempit masing-masing.

Menurut Ketua Armada Kinabatangan, suara rakyat adalah jelas bahawa mereka menolak sebarang pilihanraya dilakukan dalam tempoh terdekat ini.

Justeru katanya, mengapa masih ada pihak yang ‘gila’ mahukan pilihanraya diadakan sedangkan angka COVID-19 semakin meningkat dari hari ke hari?

“Adakah kerana wujud usaha pihak-pihak tertentu untuk melepaskan mana-mana individu dari kes-kes mahkamah sekiranya pertukaran kerajaan berlaku selepas pilihanraya dilangsungkan? Adakah dengan pelaksanaan darurat ini membantutkan usaha dan cita-cita mereka?”, soal beliau.

Johainizamshah berkata, tindakan tegas wajar diambil sekiranya masih wujud suara-suara menghasut rakyat untuk terus mempertikai titah darurat YDPA ini selaras dengan amaran oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha untuk mensabotaj kerajaan selama tempoh darurat ini dilaksanakan.

“Jangan kita menjadi sesumpah yang hanya mementingkan tembolok sendiri berbanding kepentingan rakyat. Ini bukan masanya untuk berpolitik lagi tetapi masa untuk kita membina semula negara dan melindungi rakyat baginda”, tegasnya.-pr/BNN

JOHAINIZAMSHAH JOHARI