SEMPORNA: Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan sedang menyiasat bekas Ketua Pengarah (KP) Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP), Haji Hamzah Bahari.

Siasatan itu dibuat dikatakan berkaitan dengan satu lawatan rasmi pengurusan LPP Malaysia ke daerah Semporna.

Beliau dilaporkan telah berada di Semporna dalam bulan Oktober 2018 bagi melawat projek-projek Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semporna untuk pelaksanaan.

Bagaimana pun difahamkan Hamzah disiasat pada pertengahan tahun 2020 yang lalu, dan tidak pasti atas kesalahan apa.

Agak janggal kerana SPRM membuat siasatan dalam tahun 2020, sedangkan Hamzah melawat Semporna dalam tahun 2018.

“Tidak pasti atas kesalahan apa sehingga dia disiasat. Dan ini membimbangkan kami ahli-ahli peladang yang sayangkan beliau”, kata Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semporna, Haji Abd Rahim Oting.

Katanya, sekiranya siasatan SPRM tidak benar, Hamzah atau LPP Malaysia perlu membuat kenyataan menafikannya.

“Kami ahli-ahli peladang memberi tempoh sehingga hari Selasa, 19 Januari 2021, jam 12.00 tengahari kepada Hamzah bagi membuat penafian bahawa beliau tidak disiasat oleh SPRM”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Difahamkan SPRM sedang menyiapkan siasatan berhubung kes tersebut dan pegawai SPRM juga telah mendapatkan dokumen berkaitan bagi melengkapkan siasatan.

Abd Rahim Oting berkata, ahli-ahli peladang ingin mengetahui perkembangan siasatan pihak SPRM.

“Ahli-ahli peladang juga ingin mengetahui apa perkembangan dan penyelesaian siasatan SPRM”, tambahnya -pr/BNN