Kunjungan itu diketuai oleh Presidennya, Datuk Gan Po Tiau. Turut hadir ialah Setiausaha Agong RASA, Tuan Haji Effendi Sunoh, Bendahari, Encik Rahim Kahar dan Tuan Haji Salim Ibrahim (Kordinator Media).
Hajiji telah diberi taklimat program dan aktiviti RASA, sebuah NGO yang ditubuhkan pada tahun 2015 dengan anggotanya terdiri daripada para pesara Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah (RTM Sabah) dan juga mereka yang pernah bertugas di RTM Sabah dalam pelbagai kapasiti.
RASA turut mempelawa Hajiji sebagai ahli dan penuang.Sebagai rekod Hajiji pernah bertugas sebagai penyiar di RTM Sabah pada era 70’an.
Menurut Gan, “kami juga membincangkan isu berkaitan pengambilalihan semula oleh Kerajaan Negeri Sabah tapak dan bangunan Wisma Radio Sabah di Km 2.4 Jalan Tuaran, iaitu tapak lama bangunan RTM Sabah. Bangunan tersebut masih tersergam di atas anak bukit bersebelahan dengan sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan milik Jabatan Audit Negara Cawangan Sabah”.
“Wisma Radio Sabah masih kekal di atas tapak berkenaan atas inisiatif RASA pada 2016, sewaktu keseluruhan tapak itu diserahkan kepada Jabatan Audit Negara oleh pihak Kerajaan Persekutuan.
“Ketua Menteri menyambut baik syor berkenaan dan menyatakan sokongan bahawa tapak berkenaan wajar diserahkan semula kepada Kerajaan Negeri kerana ianya telah pun diisytiharkan sebagai “Khazanah Budaya Negeri” pada 2017 oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu, atas syor yang dikemukakan oleh Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah (KePKAS)”, katanya.
Menurut Gan, dalam perjumpaan itu, RASA juga mengulangi hasrat dan kesediaannya untuk mengadakan kerjasama dengan Kerajaan Negeri, khususnya dengan KePKAS, bagi kerja-kerja pengekalan dan pemuliharaan Wisma Radio Sabah-untuk dijadikannya sebuah Muzium atau Geleri Penyiaran.
“Pada masa sama, di tapak berkenaan juga boleh kita bina sebuah Tugu atau “monument” sebagai memperingati penyertaan Sabah dalam pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.
Gan berkata, RASA mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Hajiji yang telah menyatakan sokongan terhadap perjuangan persatuan itu dan keprihatinannya atas isu-isu yang telah dibangkitkan, meliputi isu-isu ekonomi, keselamatan dan pembangunan negeri, khususnya Dasar Hala tuju; Sabah Maju Jaya.
“Kami sebagai rakyat yang inginkan kemajuan dan kemakluran berterusan, menyokong penuh Pelan Pembangunan 5 Tahun Negeri Sabah: Hala Tuju; Sabah Maju Jaya, yang diilhamkan oleh Hajiji.
“Kami nampak kesungguhan dan komitmen di pihak Ketua Menteri yang ingin membawa negeri Sabah ke mercu kejayaan dan kemajuan lebih pesat di masa depan sesuai pelan pembangunan yang holistik merangkumi pelbagai sektor utama negeri seperti pertanian, pelancongan dan perindustrian. Juga dititik beratkan tentang pembangunan modal insan dan pembangunan infrastruktur dengan tidak mengenepikan kelestarian alam sekitar”, tegasnya.
Katanya, RASA menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri dan yakin Sabah akan terus maju dan makmur di bawah pentadbiran Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Hajiji.-pr/BNN