KOTA KINABALU:Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan agihan bakul makanan di negeri ini dalam memastikan bekalan tiba kepada golongan sasaran.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya berkata, meskipun terdapat sedikit kerumitan pengagihan bakul makanan sebelum ini, pihaknya bakal memastikan perkara itu dapat diatasi dari semasa ke semasa.
“Kita faham daripada pengalaman September hingga Disember tahun lalu, ada sedikit kelewatan agihan bakul makanan ini yang dipercayai berpunca daripada alamat yang tidak tetap, nombor perhubungan berubah.
“Itu adalah antara cabaran yang kita hadapi dan kita sentiasa berfikir serta berusaha menambah baik sistem agihan bakul makanan kepada semua golongan sasar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan rapat proses pengagihan bakul makanan 2.0 di empat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) melibatkan daerah Papar, Putatan, Kota Kinabalu dan Penampang.
Mengulas mengenai situasi terkini pengagihan tersebut, Shahelmey berkata, pihaknya berpuas hati dengan persediaan dilakukan.
“Ya kita berdasarkan laporan dari semasa ke semasa, tiap hari kita akan menerima laporan dan maklum balas.
“Kita akan meneruskan penambahbaikan dalam sistem agihan kepada golongan yang terkesan dan terjejas akan mendapat rasa keperihatinan daripada kerajaan,” katanya.-PR/BÑN