SIPITANG: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N35 Sindumin menyumbang sebanyak 300 kotak limau mandarin untuk diagih-agihkan kepada masyarakat tiong hwa yang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina (TBC).
Sumbangan itu telah diserahkan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sindumin, Encik Sani Miasin (gambar) kepada Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tiong Hwa Sipitang, Encik
Yeo Boun Kiat di Kampung Cina Mesapol
Menurut Sani, sumbangan itu sebagai ingatan dan penghargaan terhadap masyarakat Cina yang meraikan sambutan TBC.
Katanya, sumbangan UPPM itu akan diagih-agihkan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tiong Hwa Sipitang kepada masyarakat Cina yang memerlukan.
Beliau berkata, TBC merupakan perayaan yang begitu penting bagi masyarakat Tiong Hwa, namun akibat pandemik COVID-19 dan juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ramai yang tidak dapat merentas negeri dan daerah untuk balik ke kampung menyambut perayaan itu bersama keluarga.
Menurutnya, kerajaan telah menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sambutan TBC dengan membenarkan tradisi makan besar keluarga.
“Sudah tentu ini adalah berita baik dan mengembirakan yang amat dialu-alukan oleh kaum Tiong Hwa di seluruh negara, termasuk di Sipitang dan Sindumin.
“Walaupun SOP makan besar TBC hanya boleh dihadiri tidak lebih 15 ahli keluar. Kebenaran itu amat bererti bagi masyarakat Tiong Hwa”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kementerian Perpaduan Negara dalam satu kenyataan petang semalam (7 Februari 2021), berkata Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Menteri (Kanan) Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menetapkan tradisi makan besar keluarga pada 11 Februari itu hanya boleh dihadiri tidak lebih 15 ahli keluarga.
Hanya ahli keluarga terdekat yang tinggal dalam zon lingkungan 10 kilometer (km) radius dibenarkan hadir tanpa rentas daerah dan negeri.
Mesyuarat juga bersetuju untuk aktiviti keagamaan di rumah ibadat pada 11, 12 dan 19 Februari dibenarkan dan tertakluk kepada SOP ketat.
Sani berharap masyarakat Tiong Hwa di Sindumin dan Sipitang menyambut
perayaan itu tahun ini dalam norma baharu dan sentiasa mematuhi SOP.
Sani bersama kakitangan UPPM Sindumin/Sipitang turut mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tiong Hwa yang menyambut perayaan itu.
Turut hadir di majlis penyerahan limau mandarin itu ialah Ketua Daerah Sindumin, Tuan Haji Daud Kasim, Ketua Anak Negeri (KAN) Encik Suhaili Matusin, Pemaju Masyarakat, Azlee Abdullah dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Sipitang, Hajah Muilin.-pr/BNN