PITAS: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengaspal Jalan Salimpodon Mantus untuk kemudahan lebih 1,500 penduduk di beberapa buah kampung di kawasan itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4 juta untuk projek pengaspalan jalan terbabit.

“Pengaspalan jalan itu akan memberi manfaat kepada penduduk Kampung Solimpodon Mantus, Solimpodon Darat, dan kampung sekitarnya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pecah tanah pengaspalan Jalan Salimpodon, Kg Mantus, hari ini.

Jalan Solimpodon Mantus terletak kira-kira 16.0km daripada Pekan Pitas, dan merupakan jalan penghubung kepada penduduk Kg.  Solimpodon Mantus ke Jalan Utama Pitas – Kota Marudu (Jalan Langkon Pitas).

Jalan sedia ada terdiri daripada jalan batu kelikir dan tanah laterit.

Hajiji optimis, pelaksanaan projek itu memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya, membantu meningkatkan jaringan perhubungan dan taraf sosio-ekonomi penduduk di sekitar kawasan itu termasuk menjimatkan masa perjalanan beberapa buah kampung ke Pekan Pitas.

Sementara itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri turut melancarkan projek wifi “Connect Me Now” di Kampung Mantus, antara usaha Kerajaan GRS membantu rakyat di kawasan pedalaman untuk menikmati kemudahan internet.

Kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) melaksanakan Program Pemasangan VSAT, merupakan salah satu usaha penyelesaian jangka pendek agar rakyat di luar bandar dapat menikmati memudahan internet.

Setakat ini, projek “Connect Me Now” di Kg. Mantus adalah program keempat yang dilaksanakan oleh pihak KSTI di Sabah.

Program itu telah dilaksanakan di Kampung Walahu, Ranau pada 4 Februari 2021, Kampung Gana, Papar pada 5 March 2021 dan Kampung Kumawanan, Tambunan pada 6 March 2021.

Kerajaan GRS melalui KSTI merancang untuk memasang VSAT ini di 501 kawasan yang telah dikenal pasti di seluruh Negeri Sabah secara berfasa mulai tahun ini.

Terdahulu pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini, Hajiji berkata kerajaan akan membina 13 menara telekomunikasi di daerah berkenaan.

“Ketika ini, satu menara sudah siap manakala empat lagi dalam pembinaan. Kita menjangkakan lapan lagi menara itu akan selesai sepenuhnya menjelang awal tahun depan.*

“Kita mahu rakyat terutamanya anak-anak yang masih bersekolah akan dapat kemudahan internet sebaiknya,” katanya.

Hajiji yang julung kali datang ke Pitas sebagai Ketua Menteri turut mengumumkan peruntukan untuk menaiktaraf kawasan jalan di depan Dewan Masyarakat Pitas kepada jalan tar dan juga membina jambatan di Kampung Pondoi Kusilad yang terletak di DUN Bengkoka.

“Ini adalah antara ole-ole saya kepada penduduk di Pitas dan kerajaan akan terus membawa pembangunan ke daerah ini,” katanya.

Yang turut hadir ialah Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Haji Yakub Khan dan Pembantu Menterinya, Dato Seri Dr Ruddy Awah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Encik Harun Durabi, Setiausaha Tetap KSTI, Puan Jasmin Teo dan Pegawai Daerah Pitas, Haji Bakri Nanun.-pr/BNN

Hajiji melakukan upacara pecah tanah pengaspalan Jalan Salimpodon, Kg Mantus.