KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hari ini menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dan rombongan di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).
Rombongan Nancy terdiri daripada Timbalan Menterinya, Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Encik Mohd Zamri Mat Zain, Setiausaha Bahagian Dasar Pelancongan, Dr.Tan Awang Besar dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Sabah, Encik Ibrahim Othman.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sr Haji Safar Untong dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr. Jamili Nais.
Hajiji yang juga Pro Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Nancy kemudiannya menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara UMS bersama Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), agensi dibawah MOTAC di bilik mesyuarat utama PPNS.
UMS diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Dr. Raman Noordin dan Pengarah Galeri Azman Hashim, Puan Sarlona Gindug. Sementara LPSVN diwakili Ketua Pengarahnya, Encik Amerrudin Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Encik Alizam Hasan.
MOU itu melibatkan usaha menggalak, mempromosi dan mendorong pembangunan ekosistem seni visual negara. Kerjasama yang bakal dilaksanakan adalah menerusi Geleri Azman Hashim UMS yang mula dibina pada tahun 2017 dan siap sepenuhnya pada tahun 2020.
Azman Hashim, yang merupakan Pro-Canselor UMS telah menyumbang sebanyak RM15,000,000.00 bagi pembinaan galeri ini. Antara lain, galeri ini berperanan menjadi pusat sehenti bagi aktiviti pameran, program, simposium dan konferensi mengenai seni visual. Malah perkongsian mengenai penyelidikan seni, koleksi dan aktiviti konservasi karya seni dapat diadakan bagi perkembangan seni dan budaya.
Menurut Nancy, dengan adanya Galeri Azman Hashim UMS ini, diharapkan aktiviti kesenian di Negeri Sabah dapat disubur dan dirancakkan kembali dalam usaha mendukung industri pelancongan selain menjadi tarikan terbaharu kepada peminat seni tempatan.
Dengan termeterainya MoU ini juga, kerjasama antara dua organisasi dapat dilaksanakan melalui perkongsian data serta maklumat secara lebih strategik dan lestari mengenai kesenian dan budaya negara. Dengan kepakaran dan kemahiran yang terdapat di LPSVN, data serta maklumat berkenaan seni visual akan dikongsi dan ditambah nilai melalui Galeri Azman Hashim UMS.
Dalam majlis yang sama, Balai Seni Negara turut merasmikan inisiatif terbaharu melalui program Jejak Seni Malaysia dalam memetakan ekosistem seni di seluruh negeri di Malaysia. Antara yang tersenarai termasuklah Galeri Azman Hashim UMS dan Balai Seni Lukis Sabah yang mampu menjadi tarikan pelancongan seni selain daripada 59 lokasi secara keseluruhan bagi Negeri Sabah yang meliputi karya awam, lorong seni, galeri, studio dan residensi.
Dengan adanya pemetaan ini, kesinambungan seni serta budaya dapat menyokong mempromosi serta meningkatkan ekonomi dan ekosistem seni negara.
Jelas Nancy lagi, kerjasama ini adalah antara langkah pelan pemulihan sektor pelancongan seni serta ekonomi yang sekaligus bakal memberi impak positif kepada industri seni visual negara. Ia juga diharapkan dapat memacu pertumbuhan industri khususnya pelancongan domestik di Negeri Sabah.
Terdahulu, Hajiji menghadiri Majlis Pelancaran Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Datuk Seri Panglima Muhyiddin Haji Mohd Yassin di Putrajaya Marriott Hotel, Putrajaya secara maya.-pr/BNN