KOTA KINABALU: Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag, hari ini bersama beberapa isteri jemaah menteri Kabinet Sabah membungkus kuih muih Aidilfitri untuk diagihkan kepada pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di negeri ini.

Sebanyak 252 bungkusan kuih muih itu, adalah sumbangan daripada isteri ketua menteri.

Juliah berkata, kuih muih itu akan diagihkan kepada pasukan keselamatan dan petugas kesihatan terutama mereka yang akan bertugas pada 1 Syawal ini.

“Terima kasih juga kepada beberapa isteri jemaah menteri Kabinet Sabah yang bersama-sama membantu membungkus kuih muih ini yang akan diserahkan kepada pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di negeri ini.

“Sumbangan ini sebagai tanda ingatan tulus ikhlas dan ucapan terima kasih kepada pasukan keselamatan dan petugas kesihatan,” katanya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor dijadualkan akan menyerahkan sumbangan kuih muih Aidilfitri daripada pelbagai pihak antaranya jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Persatuan wanita dan badan bukan kerajaan (NGO), kepada pasukan keselamatan dan petugas kesihatan pada 29 April ini.-pr/BNN

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag bersama beberapa isteri jemaah menteri Kabinet Sabah membungkus kuih raya yang akan diagihkan kepada pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di negeri ini, di sini hari ini.