KOTA KINABALU: Sebagai respon kepada kenyataan terbaru oleh presiden PBS, Datuk Dr. Maximus Ongkili, yang mencela presiden STAR SABAH “agar jangan mencetus sentimen untuk keuntungan politik” dan mengenai kesediaan partinya untuk bekerjasama dengan Warisan “demi kebaikan rakyat Sabah”, STAR SABAH bersyukur kerana “Dr. Max sebenarnya sedang menghulurkan budi kepada STAR.”

Setiausaha Agung STAR, Datuk Guandee Kohoi, dalam satu kenyataan di sini mengatakan bahawa dengan membuat serangan mengejutkan terhadap Dr. Jeffrey, Maximus kini menjadikan para pemimpin dan anggota STAR lebih bersatu dan berkumpul lebih bersemangat lagi di belakang presiden mereka.

“Betapa ironisnya bila dia dengan bersikap bermusuhan terhadap sesama anggota gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Dr. Max membuat orang sekarang tertanya-tanya apakah pertimbanganya masih logik dan apakah niatnya yang sebenar,” kata Kohoi. “Nampaknya dia begitu terdesak untuk mahu mengambil alih parlimen Keningau dan DUN Tambunan dari tangan Dr Jeffrey sehingga dia sekarang bersedia mengambil jalan sai lang (mempertaruhkan segalanya) untuk cuba selamatkan karier politiknya dan masa depan PBS.

Kohoi, yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, mengesali tindakan agresif Max sebagai tidak masuk akal, dan tertanya-tanya, apakah itu semua adalah usaha terdesak yang melulu untuk cuba menghidupkan semula kekuatan PBS yang sokongannya semakin merudum.

“Nampaknya dia mecampakkan semua kerjasama antara PBS dan STAR kepada angin lalu,” kata Kohoi. “Dan dengan berbuat demikian dia mengorbankan apa pun kesatuan yang masih ada antara kami di GRS. Kebenaran tujuannya ini dapat disahkan dengan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah, satu parti yang bermain dengan idea mahu pula bekerjasama dengan UMNO.

“Oleh itu, tidak hairanlah yang PBS pernah membelot dengan melanggar perjanjian mesra untuk tidak bertembung dengan STAR di mana-mana kawasan pada pilihan raya negeri yang lalu,” katanya. “Dan sekarang modus operandi membelot ini diperluas kepada tindakan memusuhi STAR untuk menghapus semua kemungkinan kerjasama dengan kami di masa hadapan. Dan jangan haraplah ia berminat berunding untuk mewujudkan pergabungan dengan STAR.”

Kohoi, bagaimanapun, merasa bersemangat terhadap sikap permusuhan yang mendadak dari PBS itu kerana ia membuka jalan baru dan meningkatkan sokongan untuk STAR.

“Betapa ironisnya bila, dengan menyerang kita, dan menyatakan niat untuk bekerjasama dengan Warisan dan mahu bersekutu dengan parti-parti dari Malaya, Dr. Max sebenarnya telah membuat rakyat menyedari betapa besarnya erti perjuangan Dr Jeffrey yang berpandangan dan berwawasan jauh dengan pendiriannya yang mahu meniadakan parti-parti Malaya di Sabah, dan menuntut diwujudkan satu Perjanjian Malaysia yang baru.

“Betapa tidak bijaksana bagi PBS untuk mahu mengambil arah yang berlawanan dengan wawasan ini! Langkah Dr. Max yang terbaru ini sebenarnya menukulkan paku terakhir pada keranda perjuangan asal PBS tahun 1985,” Kohoi menambah. “Dengan pemikiran buasa sahaja kita boleh nampak bahawa pendiririan PBS ini bertentangan dengan aspirasi dan citarasa kebanyakan rakyat Sabah, terutama kaum Momogun.

“Oleh itu, kami sebenarnya sangat mengalu-alukan sikap mencabar dari Dr. Max ini kerana ia begitu menguntungkan STAR. Semakin ramai orang akan kecewa dengan perjuangan PBS sekarang dan menyedari betapa betulnya perjuangan politik STAR untuk masa depan Sabah yang kita mahu mempunyai autonomi penuh ke atas sumber-sumber buminya dan akan dapat merancang nasib untungnya sendiri di dalam persekutuan Malaysia. Kami gembira kerana Dr. Max besar kemungkinan sedang melakukan kesilapan yang tidak dapat diperbetulkan lagi, dan secara tidak sengaja, di masa yang sama, sedang menambah kekuatan STAR.”-pr/BNN