KENINGAU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) diharap dapat menyelesaikan kemelut politik secara baik melalui perbincangan secara terus oleh kedua-dua presidennya.

Naib Ketua Armada BERSATU Sabah, Rafie Robert berkata, kestabilan politik adalah sangat dituntut ketika ini bagi memudahkan para pemimpin kerajaan termasuk daripada PBS dan STAR sendiri dapat fokus melaksanakan tugasan masing-masing bagi membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan akibat pandemik COVID-19 ini.

“Rakyat ketika ini diseru mengikuti Prosedur Operasi Standard pencegahan pandemik COVID-19 sehingga ramai yang sangat terkesan, ini adalah masanya untuk kita melaksanakan tugas kepada mereka sebagai tanda penghargaan kerana mereka telah hadir mengundi pada Pilihan Raya Negeri yang lalu walaupun pada ketika itu pandemik COVID-19 masih melanda.

“Sudah pasti ketidakstabilan politik yang berlaku ketika ini akan memberi kemudaratan yang amat besar kepada rakyat, kerana jika kerajaan berubah ini menyebabkan akan berlaku perubahan dasar-dasar kerajaan dan lebih buruk lagi jika rakyat dituntut sekali lagi untuk mengundi ketika pandemik COVID-19 ini melanda.

“Sudah pasti persengketaan politik yang timbul pada masa sukar ini menunjukkan keputusan yang tidak baik kerana ianya akan menjadi sumber penilaian oleh para pengundi yang akan memberi kesan negatif kepada parti politik masing-masing pada masa akan datang,” jelasnya.

Katanya, keputusan untuk bekerjasama dengan pihak lawan juga tidak akan memberi kebaikan kepada sesuatu parti tetapi sebaliknya akan mendapat kesan negatif daripada rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada pemimpin dan parti yang mereka pilih untuk membentuk kerajaan pada PRN lalu.

Oleh itu katanya, isu-isu yang timbul antara PBS dan STAR sebaiknya diselesaikan secara dalaman dan tidak perlu didedahkan kepada umum bagi mengelakkan penyokong masing-masing turut sama bersengketa.

Beliau yang juga Ketua Armada Bersatu Keningau berkata, isu-isu yang membuatkan antara kedua parti ini saling bersengketa pada ketika ini sepatutnya perlu diselesaikan secara damai dengan berbincang secara terus oleh kedua-dua presiden parti masing-masing seperti isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), isu kerusi di Parlimen P.180 Keningau dan Dewan Undangan Negeri N.39 Tambunan.

Jelasnya, pasti ada keputusan terbaik boleh dibuat berkenaan isu-isu ini jika kedua-dua presiden parti boleh duduk semeja untuk membincangkan berkenaan perkara tersebut.

Tambahnya, akhir sekali keputusan untuk mengubah corak politik ketika ini adalah amat tidak sesuai kerana akan menyebabkan penderitaan kepada rakyat yang lebih dahsyat, sesungguhnya kestabilan dan kekucar-kaciran sesebuah negara mahu pun negeri ditentukan oleh keastabilan politik dan kerajaannya..-pr/BNN

 

17 Mei 2021.