PUTATAN: Kira-kira 29 buah rumah mangsa kebakaran menerima sumbangan daripada Srikandi Bersatu Sabah di perkarangan PPR Serigai Putatan di sini pagi tadi.
Sumbangan disampaikan oleh Penolong Setiausaha Srikandi Bersatu Sabah, Dato Redonah Bahanda dengan disertai Pengerusi Biro Kebajikan Srikandi Sabah, Salmi Sarinoh; Ketua Srikandi Putatan Salmah Sait, Fahzean Mohiddin (Papar); Setiausaha Kerja Srikandi Sabah, Aziah Atoh (Sepanggar) dan Timbalan Penerangan Ketua Srikandi Sabah Liza Din.
Kejadian kebakaran itu mengakibatkan sebanyak 35 buah rumah musnah ‘dijilat’ api.
Sebanyak dua pusat pemindahan sementara telah dibuka iaitu di PPR Serigai dan Dewan Keramat Putatan.
Sumbangan tersebut berupa kain sarung untuk lelaki dan perempuan serta barangan dalaman wanita.
Menurut Dato Redonah Bahanda yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, biarpun sedikit sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat meringankan sedikit bebanan mereka dan diharap dapat memberi semangat baharu kepada mangsa.
Beliau turut mengingatkan masyarakat yang mendiami kawasan perkampungan atas air agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam penggunaan peralatan elektrik dan ketika memasak bagi mengelak berlakunya kejadian kebakaran.
Katanya walaupun kebakaran adalah sebagai satu malapetaka yang tidak dapat dielak dan sikap berwaspada dan berhati-hati pada setiap masyarakat membolehkan kejadian tidak berulang.
Beliau juga meminta masyarakat setempat agar berhati-hati menjaga aspek keselamatan terutama ketika musim panas yang boleh menyebabkan kebakaran mudah merebak dengan cepat.
“Di samping itu, kejadian seumpama ini perlu dijadikan iktibar kepada penduduk lain agar sentiasa mematuhi segala aspek keselamatan kediaman,” katanya.
Sementara itu, penduduk yang terjejas akibat kebakaran pada Sabtu lalu dibenarkan membina semula rumah mereka yang musnah di tapak kebakaran di Kampung Meruntum.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tanah itu adalah milik kerajaan dan kerajaan negeri membenarkan mereka mendirikan semula rumah di kawasan itu.
Menurut Pegawai Kebajikan Daerah Putatan Nuslindah Embaran lapuran terkini rumah terbakar 29 buah dan 54 ketua isi keluarga.,-pr/BNN