BELURAN: Pekebun Kecil Sawit Sabah ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri diatas pemberian bantuan kewangan BANTUAN SABAH PRIHATIN 3.0 untuk para pekebun kecil sawit negeri Sabah.
Pengerusi Konsortium Koperasi Penanam Sawit Mampan Berhad Negeri Sabah; James Tan berkata, YAB Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor sangat prihatin dalam menjaga kebajikan semua pekebun kecil kelapa sawit di seluruh negeri ini.
“Bantuan ini tepat pada masanya sejajar desakan dan kekangan pandemik COVID-19 ketika ini. Lebih 30,000 pekebun kecil dijangka akan mendapat manfaat menerusi bantuan ini”.
“Sudah tentu kami amat bersyukur diatas bantuan ini, sekurang-kurangnya kami dapat membeli satu tong 20 liter racun rumpai yang mana harga racun sekarang ini telah meningkat” jelas James.
Beliau berkata, pekebun kecil sememangnya telah memainkan peranan yang sangat penting dalam menyediakan makanan dan bahan keperluan seperti minyak masak yang berasaskan kelapa sawit, yang mana menjadi keperluan harian setiap isi rumah.
Menurutnya, pekebun kecil amat berbesar hati dan gembira dengan pengumuman bantuan kewangan yang disediakan itu, memandangkan ia dapat memenuhi beberapa keperluan para pekebun kecil.
“Sebelum ini Ketua Menteri telah menyediakan bantuan 1.0 dan 2.0, dan ini merupakan kali ketiga kerajaan negeri terus-menerus membantu para petani,” tambah James lagi.
Dalam pada itu, ahli-ahli koperasi penanam sawit juga merakamkan penghargaan kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Jeffrey Kitingan diatas inisiatif menyediakan bantuan kepada semua petani, penternak dan juga nelayan.
“Bagi pihak semua, saya ingin merakamkan ucapan khas terima kasih kepada Datuk Seri Hajiji dan Datuk Dr. Jeffrey diatas usaha gigih mereka dalam memajukan ekonomi dan membantu rakyat menjana pendapatan melalui sektor pertanian dan perikanan,” kata James.-pr/BNN