KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) akan mengagihkan 4000 bakul makanan kepada golongan asnaf yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd Arif berkata, bantuan bakul makanan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM300,000.00.
Katanya, bantuan bakul makanan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Bantuan Khas PKP 3.0 Bahagian Zakat dan Fitra MUIS, yang akan diagihkan kepada asnaf di setiap daerah seluruh Sabah.
” Agihan bakul makanan itu melibatkan kerjasama dengan Pegawai Tadbir Agama (PTA) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) di setiap daerah.
“Dianggarkan lebih 4,000 ketua isi rumah (KIR) yang akan disantuni khususnya asnaf yang amat terjejas berikutan PKP”, katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan Bantuan Khas PKP 3.0 Bahagian Zakat dan Fitra MUIS di perkarangan Masjid Negeri, hari ini.
Setiausaha MUIS, Encik Ramlan Awang Ali telah menyerahkan replika cek RM300,000 untuk bantuan bakul makanan kepada Pengarah JHEAINS, Datuk Haji Saifulzaman Bin Sangul, manakala Bantuan Khas Waris Pesakit COVID-19 sebanyak RM100,000 diserahkan kepada Setiausaha Tugas-Tugas Khas di Pejabat Menteri Tugas-Tugaw Khas, Encik Sapdin Ibrahim.
Arifin berkata, inisiatif lain termasuklah Bantuan Khas “one off” RM1000.00 kepada Waris Pesakit COVID-19 yang meninggal dunia dan disahkan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Hospital.
“Sebanyak RM100,000.00 disediakan untuk bantuan khas itu dan waris pesakit yang meninggal dunia boleh memohon melalui Pegawai Tadbir Agama di daerah masing-masing atau merujuk kepada bahagian zakat dan fitrah MUIS,” katanya. -pr/BNN