KOTA BELUD: Sambutan masyarakat di daerah Kota Belud untuk menerima vaksin imunisasi dilihat semakin memberangsangkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, peningkatan itu dapat dilihat menerusi sambutan berterusan di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) di daerah tersebut dari semasa ke semasa.
Beliau yang melakukan lawatan di PPV Kota Belud bertempat di Dewan Masyarakat Tun Said turut memuji tahap kesedaran penduduk setempat dalam usaha kerajaan mencapai komuniti kelompok.
“Pagi tadi saya membuat tinjauan sekali lagi di pusat pelaksanaan vaksin Kota Belud di Dewan Masyarakat Tun Said.
” Alhamdulillah, sambutan masyarakat Kota Belud semakin menunjukkan peningkatan.
“Saya juga bertemu Pengarah Hospital, Dr. Primus John untuk menyampaikan sumbangan komputer untuk kegunaan para sukarelawan pendaftaran serta berbincang mengenai pekara asas yang diperlukan untuk melancarkan dan memudahan proses perjalanan program vaksinasi Covid-19 peringkat Kota Belud, “katanya.
Salleh yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam masa sama turut berkesempatan melawat pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Lebak Moyoh pada hari yang sama.
Untuk rekod, kawasan terbabit telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kali kedua susulan peningkatan kes Covid-19 dan kluster baru-baru ini.
Beliau dan rombongan turut menyerahkan sumbangan air mineral serta makanan kepada petugas barisan hadapan di lokasi berkenaan.-pr/BNN