KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Pengguna Bijak pantai Barat Sabah David Chan meminta semua pengguna dan peniaga di seluruh negeri Sabah untuk terus menyokong usaha Kerajaan Negeri Sabah dalam memulihkan ekonomi negeri Sabah setelah merudum kerana penularan pandemik COVID19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, usaha Kerajaan Negeri membuka semula sektor-sektor dan industri misalnya jualan makanan termasuk membolehkan dine-in, adalah tidak lain tidak bukan untuk memastikan perniagaan rakyat Sabah terus kekal dan mampu bertahan.
“Kerajaan Negeri melalui Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor buat keputusan begitu pastinya setelah meneliti semua aspek dan perbincangan bersama Jemaah Menteri Kabinet, bukan suka-suka membuat keputusan dan ini adalah demi untuk kepentingan kita semua, rakyat Sabah.
“Rakyat biasa macam kita semua perlu bekerja untuk menyara keluarga dan jika kita sudah mula mencatatkan corak penurunan kes, bahkan ada kawasan yang sudah tiada kes COVID19, jadi tidak salah jika rakyat kita kembali bekerja mencari rezeki,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Menurut David, isu sebenar yang perlu difokuskan adalah tentang vaksinasi untuk semua penduduk di seluruh negara dan kejayaan melawan COVID19 akan berjaya hanya jika semua rakyat berjaya diberikan suntikan vaksin secepatnya.
“Jika Kerajaan Persekutuan bertindak lebih cepat, lebih pantas, melipat gandakan usaha berkaitan vaksinasi di seluruh pelusuk negara, pasti usaha menentang pandemik ini akan direalisasikan secepat mungkin.
“Sekadar PKP, PKP dan berterusan dengan PKP, masalah ini tidak mungkin akan selesai, usaha vaksinasi itu yang perlu lebih dijalankan dengan agresif,” katanya lagi.
Dalam pada itu, David turut memberitahu bahawa Kerajaan Persekutuan perlu mempertimbang keputusan Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan SOP kerana segala aspek perlu dinilai dengan terperinci dan tidak bersifat terlalu menghukum dan memperlihatkan seolah-seolah Kerajaan Negeri Sabah tidak menjaga SOP dan tidak mementingkan nyawa rakyat.
“Kerajaan Persekutuan perlu ada timbang rasa dan fleksibel, kerana masa kini adalah masa untuk kita bersatu dan berganding bahu bersama, tidak kira kerajaan atau rakyat, dan bukannya hanya mengeluarkan arahan dan tidak melihat sudut pandang dari kaca mata pihak lain.
“Apa pun, semoga usaha kita semua melawan COVID19 akan mencapai kejayaan tidak lama lagi,mudah-mudahan,” ujar beliau lagi.-FB/NEW SABAH NEWS