RANAU: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ranau menyokong keputusan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Kerajaan Negeri melaksanakan pelonggaran SOP untuk Sabah.
Pengerusinya Datuk Jaimin Samitah berkata, tindakan Hajiji dan Kerajaan Negeri adalah untuk kebaikan rakyat dan negeri Sabah.
“Kita sedia maklum, rakyat di negeri ini semakin terhimpit berikutan pelaksanaan PKP bagi menghalang penularan pandemik COVID-19.
“Keadaan COVID-19 di Sabah tidak seperti di negeri Selangor atau negeri lain di Semenanjung Malaysia. Sabah perlu pulih semula agar sosio ekonomi yang terjejas dapat berkembang.
“Dengan pelonggaran SOP untuk Sabah dan membenarkan akitiviti sosial dan ekonomi beroperasi semula akan dapat membantu percepatkan pemulihan”, katanya yang menyokong kenyataan Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS), Datuk Mohd.Nazri Abdullah berhubung isu SOP.
Mohd Nazri pada Rabu berkata, PPNS menyokong penuh tindakan Hajiji melaksanakan pelonggaran SOP untuk Sabah.
Jaimin berkata, pelonggaran dan penyesuaian SOP untuk Sabah dan negeri-negeri lain yang mencatat jumlah kes COVID-19 yang rendah amat perlu.
“Hajiji buat keputusan demi rakyat Sabah dan ini wajar disokong oleh semua pihak kerana pelonggaran SOP adalah yang terbaik untuk rakyat “, tegasnya.
Kerajaan Negeri pada Isnin mengumumkan membenarkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi beroperasi semula bermula Selasa.
Hajiji berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa pertama bermula Selasa.
Katanya, PPN itu dilaksanakan dengan mengekalkan sebahagian besar prosedur (SOP) Sabah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Beberapa aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan beroperasi antaranya ‘dine-in’ di restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel, membuka gerai menjual sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan raya dan kedai gunting rambut.
“Aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal dibenarkan selain aktiviti pembuatan dan perkilangan diperluaskan kepada getah, simen dan cat, kilang berasaskan kayu dan perabot,” katanya.-pr/BNN