KOTA KINABALU: Masyarakat Islam yang berkemampuan di negeri ini digesa tampil menyokong Kumpulan Wang Amal Jariah (KWAJ) Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS).
Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif berkata, KWAJ adalah satu kumpulan wang yang diperuntukkan melalui Enakmen Perbadanan Baitulmal 1998 (Seksyen 21) untuk mengutip dan mengumpul wang dari masyarakat Islam negeri ini sebagai sedekah bulanan.
Katanya, sumbangan KWAJ juga adalah derma yang diluluskan untuk diberi pelepasan cukai di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
“Kita menggalakkan dan mengalu-alukan mana-mana pihak termasuk jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta supaya tampil untuk bersama-sama menyokong usaha yang diperkenalkan oleh PBNS.
“PBNS telah memperkenalkan sistem potongan gaji bulanan untuk mengisi tabung tersebut dan ianya akan dimanfaatkan untuk aktiviti kebajikan dan pembangunan di Sabah”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas bersama-sama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan penyerahan sumbangan sebanyak RM100,000.00 daripada Sedafiat Sdn.Bhd untuk KWAJ.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Sedafiat Sdn.Bhd, Datuk Haji Ag. Buhtamam Bin Ag. Mahmun menyerahkan sumbangan itu kepada Pengurus Besar PBNS, Tuan Salman Nurillah. Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir. Shahelmey Bin Yahya.
Mohd.Arifin bagi pihak Kerjaaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada Sedafiat dan pihak yang memulakan pemotongan gaji bulanan mereka untuk KWAJ.
“Dengan adanya tabung ini, maka kita berharap Baitulmal akan diperkasakan”, tambahnya.
Menurut Ag. Buhtamam, sebagai tanda sokongan kepada KWAJ,
seluruh warga Sedafiat digalakkan membuat sumbangan untuk KWAJ melalui potongan gaji secara sukarela.
Sementara itu, menurut Salman Nurillah PBNS terus mengorak langkah membuat kutipan KWAJ daripada syarikat-syarikat Korporat dan individu yang berkemampuan.
Katanya, hasil daripada dana KWAJ ini akan diagihkan melalui skim bantuan yang disediakan oleh PBNS antaranya adalah;
1. Bantuan Kewangan One-off.
2. Bantuan Ziarah Kariah.
3. Bantuan Ramadhan dan Syawal.
4. Bantuan Susu Formula Khas
5. Bantuan Institusi Tahfiz, Rumah Anak Yatim, Sekolah Agama Rakyat dan NGO
6. Bantuan Awal Pendidikan bagi IPTA,Sijil dan Asasi.
7. Bantuan Bencana.
8. Bantuan Organisasi dan Kemasyarakatan.
9. Bantuan Keagamaan dan Keraian Islam.
10. Bantuan Masjid dan Surau.
11. Bantuan Rawatan dan Perubatan. -pr/BNN