KOTA BELUD: Kira-kira 70 petugas barisan hadapan menerima sumbangan pada Program CSR MAFI Prihatin oleh FAMA Sabah di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Said Kota Belud hari ini.
Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Japlin Akim di majlis yang diadakan di PPV tersebut.
Japlin berkata, sumbangan tersebut adalah merupakan tanda terima kasih dan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menangani gelombang ketiga pandemik Covid-19 ketika ini.
Japlin yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kota Belud amat berbesar hati dan menyampaikan ucapan penghargaan daripada pihak FAMA melalui program ‘MAFI Prihatin’ itu kepada petugas-petugas yang terlibat dalam pengoperasian PPV tersebut.
“Sumbangan ini diharap mampu memberi semangat kepada petugas-petugas di PPV Kota Belud untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.
“Terima kasih juga kepada rakyat yang membantu Kerajaan dan terus mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Kita sama-sama berdoa semoga penurunan kadar jangkitan ini berterusan dan terus bekerjasama melandaikan jangkitan wabak ini,” katanya.
Japlin berkata, meskipun negara masih belum berjaya sepenuhnya menangani wabak Covid-19, namun semua itu tidak boleh dijadikan alasan kepada masyarakat setempat menjaga keselamatan dan kesihatan.
Jelasnya, bagi menjaga keselamatan dan kesihatan diri, masyarakat perlu patuh SOP dengan memakai pelitup muka, melakukan sanitasi tangan dan menjaga penjarakan fizikal.
Sumbangan berbentuk barangan segar adalah untuk diagihkan kepada para doktor, jururawat serta petugas yang bertungkus-lumus memastikan pemberian vaksin berjalan dengan lancar.
Pelaksanaan program tersebut adalah selaras dengan kempen lebihkan makan buah-buahan dan sayuran tempatan yang mana dapat meningkatkan imunisasi badan dan sumber vitamin yang diperlukan untuk melawan penyakit.
Hadir sama Pengarah Fama Sabah, Ribin Wahid dan Pengarah Hospital Kota Belud Dr. Primus John.-pr/BNN