KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah merayu supaya Persekutuan membekalkan segera vaksin ke negeri ini yang dilihat semakin berkurangan.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu kenyataannya sebentar tadi berkata, gesaan itu susulan daripada permintaan rakyat di negeri ini difahamkan semakin meningkat setiap hari.
“Ekoran permintaan rakyat di negeri ini untuk menerima vaksin semakin hari semakin meningkat, bekalan yang sedia ada sudah tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan samada mereka yang telah mendaftar di MySejahtera atau melalui pendaftaran secara manual.
“Saya difahamkan pihak hospital terpaksa menangguhkan temu janji penerima vaksin bagi dos pertama dan kedua kerana kekurangan bekalan vaksin yang sepatutnya tidak berlaku dalam usaha kita mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat” katanya.
Menurut Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah itu, beliau dimaklumkan setakat ini sekitar 10,000 hingga 11,000 individu dalam sehari rakyat Sabah menerima dos vaksin.
“Yang sepatutnya boleh ditingkatkan kepada 20,000 orang sehari ,bagaimanapun bekalan vakisan terhad selain kekangan lain menyebabkan sasaran tersebut sukar dicapai.
“Kerajaan telah mempergiatkan pelbagai kempen kesedaran mengenai kebaikan vaksin kepada rakyat Sabah termasuk pelaksanaan outreach Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ke luar bandar termasuk pembukaan Pusat Pemberian Vaksin(PPV) yang baru, tapi amat malang bekalan vaksin kita tidak mencukupi, “katanya.
Tegasnya lagi, pihaknya meminta kerajaan Pusat khususnya kementerian yang berkaitan agar melihat isu ini sebagai perkara penting agar keadilan bagi penerima Vaksin di negeri ini dapat dipenuhi selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut beliau, meskipun kes Covid-19 di Sabah dilihat semakin terkawal dan sepatutnya negeri ini disenaraikan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua.
“Pusat wajar mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan rakyat Sabah dengan membekalkan vaksin yang mencukupi untuk kegunaan rakyat di negeri ini.
” Banyak negara telah berjaya mengekang penularan pandemik Covid-19 melalui pemberian vaksin kepada rakyatnya, justeru kita perlu mempercepatkan proses vaksinasi di negeri ini.
“Di Sabah dimana kita mensasarkan dalam bulan Oktober ini sekurang-kurangnya 85 peratus rakyat Sabah sudah menerima vaksin,” katanya. -pr/BNN