KOTA KINABALU:Persatuan Pengguna Bijak Sabah mengalu-alukan keputusan Majlis Keselamatan Negara bahawa negeri Sabah kini telah masuk ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Presidennya, David Chan berkata, keputusan itu diharapkan dapat membuka semula aktiviti ekonomi di Sabah sekali gus memulihkan semula pelbagai masalah seperti kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.
“Dengan peralihan kepada fasa kedua ini, saya yakin kita dapat menggerakkan semula aktiviti ekonomi seperti perniagaan dan sektor industri.
“Keadaan itu diharap dapat membuka semula bidang pekerjaan dan pendapatan rakyat yang cukup terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
David dalam pada itu turut menyokong keputusan kerajaan negeri untuk membenarkan makan di kedai-kedai makan, restoran dan hotel di Sabah.
Katanya, pengumuman Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor itu sememangnya ditunggu-tunggu oleh pengusaha kedai makan, restoran dan sektor berkaitan kerana beribu-ribu rakyat cukup terkesan apabila sekatan itu dilaksanakan.
“Hari ini oleh kerana peraturan cuma boleh membungkus makanan, banyak restoran hilang pendapatan, manakala hotel-hotel kerugian dan dalam keadaan tenat.
“Keputusan kerajaan negeri itu amat penting dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang ini,” tegas beliau.
David bagaimanapun meminta semua pihak supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) memandang wabak Covid-19 masih belum selesai dan di sesetengah tempat masih tinggi jangkitan yang berlaku.
“Setiap pengguna dan orang ramai mesti mematuhi SOP yang ditetapkan. Kita mahu aktiviti ekonomi berjalan dan pada masa yang sama wabak dapat dikekang daripada terus merebak.
“Setiap orang mesti menjaga disiplin diri kerana kita belum lagi selesai dalam perang menentang virus Covid-19,” katanya.-pr/BNN
|