KOTA KINABALU: Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama AwamSwasta (PIKAS) di Sabah bermula hari ini menyasarkan 18,000 pekerja dari 407 kilang pembuatan yang berdaftar dengan Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri berkata terlebih dahulu, ia membabitkan pekerja dalam sektor pembuatan di Kota Kinabalu dan daerah berdekatan iaitu Putatan, Penampang, Papar serta Tuaran.

“Melalui PIKAS, kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma, manakala pihak swasta akan menguruskan pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk penglibatan perkhidmatan perubatan swasta.

“Semua kos pengurusan PPV akan ditanggung oleh pihak swasta untuk menjimatkan peruntukan kerajaan,” katanya selepas melawat hari pertama operasi PPV PIKAS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pagi ini.

Dua jenis PPV di bawah PIKAS iaitu PPV Penggunaan Umum yang melibatkan pusat konvensyen dan pameran termasuk hotel manakala PPV Di Tapak (On-Site) pula adalah PPV di premis kilang.

Hajiji berkata majikan perlu menanggung sepenuhnya kos bagi vaksinasi pekerja dan mereka tidak dibenarkan untuk memindahkan kos vaksinasi dengan memotong gaji pekerja, walaupun pekerja terbabit tidak lagi bersama syarikat itu selepas mendapat dos pertama.

“Ketika PIKAS dilaksanakan, kerajaan komitéd memastikan vaksinasi bagi golongan yang paling rentan dan yang telah mendaftar di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), kekal menjadi keutamaan,” katanya.

Hajiji berkata, syarikat yang berminat untuk menyertai PIKAS boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar secara dalam talian melalui www.miti.gov.my. Inisiatif oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), PIKAS dilancarkan untuk mempercepatkan proses vaksinasi negara dengan tujuan memvaksinasi sekurang-kurangnya dua juta pekerja dalam sektor pembuatan menjelang suku ketiga tahun ini.

 

Dilancarkan sebagai Fasa 4 PICK, PIKAS diperkenalkan berikutan cadangan daripada pihak industri, dewan perdagangan serta perusahaan kecil dan sederhana yang ingin mempercepatkan proses vaksinasi pekerja mereka.

Ketua Menteri memuji usaha MITI Sabah yang mempercepatkan proses PIKAS ke negeri ini dan yakin imuniti kelompok dalam sektor pembuatan dapat dicapai sekali gus mempercepatkan pemulihan ekonomi negeri serta negara.-pr/BNN