TAMBUNAN: Seramai 71 ahli Kelab Golf Tambunan (TNGC) dan masyarakat setempat telah memberikan sumbangan kepada misi amal anjuran Biro Sosial dan Hiburan kelab tersebut untuk membantu Rumah Kanak-Kanak Bondulu di Toboh sini hari ini.
Program satu jam setengah yang bermula dari pukul 8.30 pagi dan bertemakan ‘Tip of the Hats’ itu berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM3,600 tunai dan pelbagai jenis barangan keperluan asas.
Presiden TNGC, Justin Alip berkata, misi tersebut merupakan inisiatif kelab untuk menggerakkan ahli-ahli kelab dan seluruh masyarakat setempat untuk membantu dari segi sokongan moral dan semangat kepada semua penghuni rumah tersebut yang terkesan oleh keadaan pandemik Covid-19.
“Dalam situasi pandemik pada masa ini, Rumah Kanak-Kanak Bondulu memerlukan sumbangan berterusan untuk menampung kos fasiliti dan keperluan asas seperti bahan makanan dan keperluan harian.
“Justeru itu, pihak TNGC berasa ini adalah masa yang tepat untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik demi untuk kelangsungan kehidupan. Selain itu, program sumbangan ini juga merupakan sokongan moral  dan semangat kepada semua penghuni rumah anak yatim ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Merakamkan penghargaan kepada semua penderma, Justin berkata tidak perlu kedudukan yang tinggi untuk memberi sumbangan kepada mereka yang sangat memerlukan.
Seramai 22 kanak-kanak yatim daripada rumah tersebut turut dilibatkan dalam misi yang digerakkan oleh 11 Ahli Jawatankuasa Tertinggi TNGC yang diketuai oleh Justin sendiri.-pr/BNN
Justin Alip (tiga dari kiri) bersama Ahli Jawatankuasa Tertinggi TNGC ketika berada di Rumah Kanak-Kanak Bondulu