KOTA BELUD: Sasaran sebanyak 80 peratus penduduk di daerah Kota Belud menerima vaksin Covid-19 dijangka tercapai menjelang Oktober depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata sasaran ini akan dapat direalisasikan dengan adanya perancangan serta kerjasama yang baik.
Tambahnya, setakat ini, respon daripada masyarakat tempatan amat mengalakkan dengan pendaftaran lebih 1,000 penduduk menerusi program jangkauan luar yang diadakan di SK Kuala Abai, hari ini.
 “Hari ini kita adakan program outreach vaksinasi di kawasan Usukan dan sambutannya amat mengalakkan, lebih seribu orang sudah mendaftar.
“Ini menunjukkan, jika kita mempunyai perancangan untuk turun ke bawah ia akan mendapat sambutan masyarakat setempat,” katanya.
Jelasnya, usaha pemberian vaksin tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja, malah fokus turut diberikan kepada mereka yang menetap di luar bandar.
Justeru, usaha mencapai imuniti kelompok akan dicapai dengan lebih cepat sekaligus menjadikan ia sebagai jalan keluar daripada pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.
“Tengoklah di Wilayah Persekutuan Labuan, apabila hampir 100 peratus masyarakat pulau berkenaan divaksinkan, kadar kes jangkitan dengan sendirinya menurun.
“Kita tidak sama dengan di Semenanjung Malaysia, di negeri ini kawasan kita lebih besar, sistem logistik penting dan persiapan awal harus dilakukan.
“Itulah sebabnya, pertama kita mesti tentukan ada vaksin yang mencukupi bekalannya. Kedua, jadualnya juga mesti tepat kerana apabila mendaftar, rakyat ingin terus divaksinkan,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) itu, pagi tadi.
Salleh berkata program vaksinasi jangkauan luar amat penting bagi memastikan tidak ada yang tercicir, khususnya mereka yang berada di luar bandar.
Pelbagai strategi telah dirangka, termasuk mengembeling tenaga yang terdiri daripada Unit Pemimpin Kemajuan Masyarakat, dalam melancarkan lagi proses pendaftaran vaksin.
“Kita juga membabitkan ketua kampung, pengerusi JKK dan pemimpin tempatan. Tidak hanya tertumpu kepada pendaftaran melalui MySejahtera saja dan ia lebih berkesan,” katanya.-pr/BNN