KOTA KINABALU: Vaksinasi kunci kepada usaha yang berkesan memerangi pandemik Covid di Sabah.
Dalam satu kenyataan, Datuk Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata pada masa yang sama seluruh penduduk juga harus bekerjasama dengan mematuhi semua SOP.
Penjagaan kesihatan secara penuh disiplin akan mengurangkan risiko penjangkitan virus Covid ini, katanya.
Masidi, jurucakap Covid Negeri Sabah berkata Kabinet Negeri Sabah yang bermesyuarat hari ini telah diberi taklimat mengenai kedudukan semasa pandemik Covid di negeri ini oleh Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Rose Nani Mudin.
Katanya Sabah tidak terkecuali daripada melalui arus jangkitan baharu Covid19 yang sedang berlaku dihampir seluruh dunia ditambah lagi dengan timbulnya varian-varian baharu Covid yang lebih merbahaya dan merebak cepat.
“Virus Covid sudah berada dalam komuniti kita dan jangkitan bukan lagi berlaku di lokaliti2 terpencil yang mudah dibendung dengan mengenakan perintah PKPD atau ‘lockdown’. Sekarang ramai orang secara tidak sedar adalah ‘potential virus carrier’ atau pembawa virus Covid yang dengan mudah menjangkiti orang lain.”
Pengarah Kesihatan mengesyorkan kaedah dan pendekatan baharu mendapani pandemik Covid di Sabah berteraskan perkara-perkara berikut:
(a) meningkatkan peratusan vaksinasi  dalam kalangan penduduk negeri Sabah sehingga mencapai imuniti kelompok sebelum bulan Oktober 2021.
(b) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan lagi kaedah utama untuk menghentikan penularan jangkitan Covid19.
(c) Menerima hakikat bahawa kita perlu hidup bersama Covid19 dalam tempoh yang lama dan norma baharu menjadi amalan dalam kehidupan harian.
(d) Mengambil langkah2 dan dasar baharu yang mengimbangi hidup dan tuntutan kehidupan (balancing lives and livelihoods) bagi membolehkan ekonomi Sabah pulih seperti sedia kala dengan pematuhan norma baharu.
(e) Kejayaan pendekatan dan dasar baharu ini banyak bergantung kepada kerjasama rakyat untuk mematuhi semua SOP dan norma kehidupan seharian yang baharu.
Kabinet Negeri bersetuju dengan pendekatan baharu yang dicadangkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
“Kerajaan Negeri berpuas hati dengan kadar pemberian vaksin harian yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dengan kerjasama agensi2 Kerajaan yang lain. Sehingga semalam (10/8/21) 42% penduduk negeri Sabah telahpun memperolehi satu dos dan 18.1% penduduk telahpun melengkapi dua dos.”
” Kabinet Negeri Sabah mengambil maklum bahawa pencapaian pemberian vaksin disetiap daerah adalah berbeza beza. Sebagai misalan di daerah Beaufort 50.7% penduduk telahpun melengkapi pengambilan 2 dos vaksin, tetapi ada juga beberapa daerah dimana pencapaian mereka kurang dpd 12%. Kabinet telah mengarah Setiausaha Kerajaan Negeri menyiasat punca prestasi imunisasi yang rendah ini dan mengambil tindakan segera untuk memperbaikinya.”
“Presiden-presiden Majlis Perbandaran, Pengerusi Lembaga Bandaran dan Pegawai-pegawai Daerah adalah juga Pengerusi CITF setiap daerah (Covid Immunisation Task Force). Mereka telahpun diarah melaksanakan gerakan imunisasi untuk mencapai kuota imunisasi harian yang telah ditetapkan. Ini penting agar pencapaian imunisasi negeri Sabah tidak terjejas dengan kegagalan beberapa daerah mencapai ‘target’ pemberian dos dalam setiap hari.”
Menurut Masidi, Kabinet Negeri juga dimaklumkan oleh Pengarah Kesihatan Negeri bahawa setakat ini, bekalan vaksin yang dihantar ke Sabah adalah cukup. Mengikut perancangan JKNS dan makluman daripada CITF Kebangsaan, Sabah akan menerima 1.5 juta dos vaksin pada bulan Ogos ini. Bekalan tersebut sudahpun mula diterima sejak minggu lalu.
“Kabinet Negeri mengambil maklum bahawa mengikut sumber-sumber yang sahih ada kemungkinan bekalan vaksin Pfizer akan mengalami gangguan pengeluaran yang memberi impak kepada negara-negara yg menggunakan vaksin tersebut. Malaysia juga tidak terkecuali daripada kesan gangguan pengeluaran ini.”
Sebagai persediaan kepada sebarang kemungkinan gangguan bekalan vaksin yang boleh mejejas usaha kita untuk mencapai imuniti kelompok, Kerajaan Negeri memutuskan untuk membeli vaksin sendiri bagi menampung kekurangan sementara ini.
Kerajaan Negeri akan meminta syarikat-syarikat milik Kerajaan (GLC) untuk menggunakan sebahagian daripada keuntungan perniagaan mereka untuk membeli vaksin untuk kakitangan dan pekerja mereka dan selebihnya didermakan secara percuma kpd rakyat jelata yang layak. Inisiatif ini akan mempertingkatkan program imunisasi dan mempercepatkan pemberian vaksin kepada semua penduduk di Sabah.
“Kerajaan Negeri melalui GLC bersedia membeli vaksin sekiranya terdapat kekurangan bekalan bagi memastikan semua penduduk memperolehi vaksin dengan kadar segera. Perbelanjaan pembelian vaksin ini akan ditolak daripada jumlah dividen tahunan yang lazim dibayar oleh GLC kepada Kerajaan Negeri setiap tahun.”
Syarikat-syarikat swasta khususnya syarikat-syarikat perladangan besar juga amat digalakkan melaksanakan CSR untuk kebajikan pekerja-pekerja mereka. Syarikat-syarikat besar ini dianjurkan untuk membeli vaksin untuk kegunaan pekerja-pekerja mereka sendiri tanpa menunggu vaksin percuma yang diberi oleh Kerajaan. Kita sedia maklum bahawa sebahagian besar (80%) daripada pekerja-pekerja ladang adalah rakyat asing. Program amal ini atau CSR ini akan membantu mempercepatkan imunisasi kepada seluruh penduduk dewasa di Sabah, tak kira warganegara atau bukan warganegara. Kerajaan Negeri bersedia mempertimbangkan untuk membenarkan ladang2 besar yang berjaya memberi vaksin kepada 100% pekerja mereka (termasuk keluarga) beroperasi semula dengan kapasiti tenaga 100%.
Syarikat milik Kerajaan, Qhazanah Sabah Sdn Bhd (Warisan Harta SB) telah dilantik oleh Pharmaniaga Bhd sebagai wakil penjualan vaksin Sinovac di Sabah. Pharmaniaga mempunyai kemudahan penyimpanan vaksin di Kota Kinabalu. Kapasiti pengeluaran Sinovac di kilang Pharmaniaga di Kuala Lumpur ialah 4 juta dos sebulan. Syarikat-syarikat yang berhasrat untuk membeli sendiri vaksin untuk pekerja-pekerja mereka boleh menghubungi terus Qhazanah Sabah di Kota Kinabalu.
Kerajaan Negeri menjamin pemberian vaksin secara percuma kepada semua penduduk Negeri Sabah. Cadangan menggalakkan syarikat-syarikat besar untuk menderma vaksin kepada pekerja-pekerja mereka ialah bagi mempercepatkan negeri Sabah mencapai imuniti kelompok dan dalam masa yang sama membolehkan syarikat-syarikat tersebut beroperasi seratus peratus apabila semua pekerjanya lengkap diberi vaksin. Langkah ini akan mempercepatkan pemulihan ekonomi negeri kita.-pr/BNN