SANDAKAN: Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) telah mewujudkan sebuah Arked Perniagaan Sungai Manila di Pekan Muhibbah sini.
Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Jochim Gunsalam berkata, bangunan arked perniagaan ini terbahagi kepada beberapa jenis lot iaitu gerai makan, pelbagai barangan, pasar mini, pasar ikan dan daging serta lot untuk sayur dan buah-buahan.
“Arked perniagaan ini mempunyai keluasan sejumlah 3.55 ekar dan kos projek ialah sebanyak RM6 juta,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jarak pekan ini daripada bandar Sandakan ialah 28 kilometer.
Dr. Joachim berkata, ini adalah selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri untuk terus memajukan kawasan luar bandar.
Tambahnya, arked baharu ini lebih menjamin keselesaan dan keselamatan peniaga yang berniaga di sini.
“Kedai baharu ini akan memberikan kemudahan kepada semua penduduk sekitar dan pada masa yang sama ia akan menggantikan gerai-gerai lama. Selain itu, pengwujudan arked perniagaan ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk di sini,” tambahnya.
Menurutnya, lot kedai tersebut masih belum dibuka untuk permohonan penyewaan kerana ia masih berada dalam proses perbincangan di antara pihak SEDCO dan Majlis Perbandaran Sandakan.
Beliau meminta mereka yang berminat untuk berniaga di arked perniagaan ini untuk menunggu pengumuman yang akan dibuat tidak lama lagi.-pr/BNN
Dr. Joachim (kiri) ketika melawat Arked Perniagaan Sungai Manila, Pekan Muhibbah.