KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor merakamkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu, dan menyatakan beliau juga mempunyai kelayakan dan pengalaman yang diperlukan untuk memimpin negara ini.
Hajiji, yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berkata Kerajaan Negeri GRS menyokong penuh Ismail Sabri dan mengharapkan hubungan negeri-persekutuan ini akan membuahkan hasil, bukan hanya untuk mempercepatkan usaha membangunkan negeri ini tetapi juga yang antara lain mengambil kira hak-hak Sabah.
“Kami akan meneruskan perjuangan ini dan isu-isu berkenaan dengan hak, keutamaan dan keperluan Sabah juga akan diteruskan. “Sekarang pergolakan kepemimpinan di peringkat Persekutuan telah diselesaikan, marilah kita semua bersatu, mengenepikan perbezaan, dan terus bergerak untuk memerangi pandemik COVID-19 serta membangun kembali ekonomi kita,” katanya.
Ketua Menteri yang mewakili Kerajaan GRS turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri sementara atau caretaker, Tan Sri Muhyiddin Yassin, atas khidmatnya kepada rakyat dan negara serta sokongan dan sumbangannya kepada Sabah.-pr/BNN