BEAUFORT: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Kesembilan (PM ke 9).
Pengerusinya Datuk Mohd.Nazri Abdullah berkata, Ismail Sabri merupakan tokoh dan pemimpin yang berpengalaman luas dan pernah memegang banyak portfolio dalam Kabinet Persekutuan.
“PM ke 9 tidak asing lagi bagi warga peladang di negara ini kerana beliau pernah memegang jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada tahun 2013-2015.
“Secara peribadi saya dan Ismail Sabri telah kenal lama sejak tahun 1995 lagi di mana pada masa itu kami sama-sama berkhidmat sebagai pegawai Menteri. Beliau berkhidmat dengan Datuk Sabaruddin Chik dan saya dengan Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak. Ketika itu kami bekerjasama, kempen untuk pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Dia kempen untuk Boss nya dan saya Kempen untuk Boss saya.
“Pada Tahun 2010 pula, apabila saya dilantik sebagai pegawai Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia ( Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim kini Tan Sri) dan menjadi Ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Apabila saya mengiringi Menteri saya hadir berbagai mesyuarat, kami ada berjumpa.
“Ismail seorang yang baik hati dan mempunyai budi pekerti yang tinggi dan sentiasa merendahkan diri. Dari mula kenal beliau hingga kini, beliau tidak pernah berubah. Saya doakan beliau dipermudahkan dan mendapat bantuan ALLAH untuk memimpin negara Malaysia yang tercinta ini.
“Ismail juga sangat rapat dengan Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak, Presiden Kehormat Pertubuhan Peladang Negeri Sabah, Bekas Ketua Menteri Sabah dan bekas Menteri Persekutuan.
“PPNS yakin Kerajaan Persekutuan dibawah pimpinan Ismail Sabri akan membela nasib para peladang yang terkesan akibat Pandemik Covid-19 menerusi polisi yang akan dilaksanakan”, katanya dalam kenyataan.
Mohd.Nazri menggesa para peladang terus menjalankan tanggungjawab mereka dalam memastikan bekalan makanan mencukupi untuk keperluan dalam negara.
Menurutnya, para peladang perlu memberi sokongan kepada Ismail Sabri, Kerajaan dan Kabinet baharu yang akan dibentuk oleh beliau.
Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera, selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur petang tadi.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada jam 2.30 petang.
Ismail Sabri kemudian menandatangani dokumen-dokumen berkaitan sambil disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebelum istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah.
Yang turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama, Yang Di Pertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Di Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun
Antara pemimpin parti politik yang hadir, bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi Penasihat Barisan Nasional (BN), Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Selain itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup.-pr/BNN
|