KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) merasa kecewa apabila hanya 53,000 dos tunggal CanSino sahaja diterima oleh Sabah kelmarin dari jumlah 200,000 dos yang tiba di KLIA Jumaat lepas.
Datuk Yong Teck Lee, Presiden SAPP dalam kenyataannya berkata, jumlah vaksin tersebut hanya 3 peratus dari jaminan bekalan 1.8 juta dos CanSino yang diminta oleh Kerajaan Negeri Sabah.
“Ini tidak boleh diterima, Maka saya mengulangi gesaan saya agar bekalan vaksin CanSino dari Beijing dihantar terus ke Sabah tanpa melalui KLIA, kekhuatiran bahawa vaksin mungkin akan dihantar ke tempat lain adalah berasas” tegas beliau.
“Ketua Pengarah KKM harus berlaku adil kepada Sabah Dan memastikan semua PPV di Sabah beroperasi dengan kemampuan maksimum”, tambah beliau.
Jangkitan covid19 di Sabah meningkat melebihi 3 ribu kes kelmarin dan angka terbaru mengejutkan itu mengatasi jumlah jangkitan harian pada minggu sebelumnya.
“Kita bangga Malaysia menjadi negara dengan Kadar vaksinasi tertinggi di dunia, tetapi di Sabah Kita terpaksa menelan air liur pahit apabila menjadi negeri tercorot seluruh Malaysia dengan hanya 31.4 % penduduk sahaja mendapat 2 dos lengkap”, kata Yong lagi.
Pada masa yang sama, ada PPV di negeri dilaporkan terpaksa menangguhkan pemberian vaksin dan menunda tarikh temujanji di saat akhir kerana kekurangan bekalan.
“Sebagai contoh PPV Dewan Masyarakat Pa’ Musa Beaufort hanya mampu memberikan 100 dos vaksin hari ini’, ujar beliau.
Sabah menaruh harapan tinggi vaksin dos tunggal CanSino dapat mempercepatkan program Imunisasi Covid19 Kebangsaan (PICK) terutama kepada penduduk di luar Bandar yang mengalami masalah kesukaran akses ke PPV terdekat. CanSino menjadi jawapan bagi mengurangkan beban perjalanan 2 kali bagi pengambilan 2 dos vaksin.
Ketua Menteri Sabah telah mengeluarkan beberapa kenyataan berkaitan vaksin tersebut sebelum ini, akan tetapi dikhuatiri usaha Kerajaan Sabah akan terbantut sekiranya KKM gagal menepati janji jaminan bekalan vaksin dan distribusi menepati masa ke Sabah.
“Setiap penangguhan bekalan adalah Kritikal dan boleh mendedahkan jangkitan kepada orang awam, serta melambatkan proses pemulihan Ekonomi di Sabah” kata Yong.-pr/BNN