KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menggesa semua rakyat Malaysia di Sabah untuk bersatu dan menyambut Hari Kebangsaan dengan penuh rasa bangga dan patriotisme.

“Bersyukurlah dengan keamanan dan keharmonian yang telah kita kecapi. Marilah kita mengenepikan perbezaan dan anasir-anasir yang boleh menggugat perpaduan. Marilah kita fokus kepada persamaan kita untuk membangun negara yang lebih baik,” katanya dalam perutusan Hari Kebangsaan 2021.

Hajiji berkata walaupun menghadapi pelbagai cabaran, rakyat Malaysia perlu terus
bangkit dan bersama kerajaan untuk menempuh saat-saat sukar ini termasuk terus
berjuang melawan pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan kehidupan serta
ekonomi.

“Tema Hari Kebangsaan iaitu Malaysia Prihatin, mencerminkan tekad kerajaan dan rakyat untuk memerangi pandemik COVID-19,” katanya sambil menambah bahawa
keprihatinan rakyat Malaysia itu dizahirkan dengan meraikan jasa dan pengorbanan
semua petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memastikan negara terus
dilindungi serta selamat daripada pandemik COVID-19 dan ancaman keselamatan.-pr/BNN