KUDAT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki hari ini meluangkan masa bersama dengan 48 pelajar cemerlang SPM 2020 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.
Mereka yang bersamanya dalam perjumpaan secara maya itu adalah pelajar-pelajar daripada empat buah sekolah menengah di DUN Matunggong, iaitu SMK Matunggong, SMK Pinawantai, SMK SIKUATI dan SMK Sikuati 2.
Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat itu mengucapkan tahniah kepada semua guru, ibubapa dan pelajar sendiri di atas komitmen untuk mencapai dan mengekalkan kecemerlangan.
“Semua empat buah sekolah di Matunggong menunjukkan trend pencapaian meningkat. Saya cukup gembira. SMK Matunggong khususnya tersenarai dalam 10 sekolah terbaik negeri Sabah kategori luar bandar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Daripada 48 pelajar cemerlang di empat buah sekolah ini, 6 orang mendapat 8A, 9 orang mendapat 7A, 13 orang mendapat 6A dan 20 orang mendapat 5A,” kata Julita dalam kenyataan media kelmarin.
Dalam menghargai dan merayakan pencapaian mereka, beliau juga memberi sedikit sumbangan kepada para pelajar tersebut mengikut pencapaian masing-masing.
“Saya berharap dengan pemberian tersebut para pelajar akan terus didorong dalam pelajaran mereka di mana-mana institusi pengajian selepas ini,” kata beliau.
Semasa pertemuan tersebut, Julita menekankan betapa pentingnya pendidikan kepada generasi baru.
“Mereka adalah generasi pelapis yang akan memegang atau menyambut ‘baton’ dari generasi sekarang untuk meneruskan hasrat perubahan ke arah memperkasa martabat komuniti.
“Cabaran yang ada pada era mereka pastinya lebih kompleks. Tetapi pendidikan yang baik akan mempersiapkan para pelajar dan generasi baru untuk berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan,” katanya.
Beliau juga mendorong bahkan mencabar para pelajar tersebut untuk meneroka dan tambah minat dalam bidang-bidang profesional seperti arkitek, perakaunan, perubatan, perundangan dan lain-lain.
“Ramai juga kalangan ahli komuniti ini yang berada dalam bidang-bidang tersebut tetapi kita harus jangan berhenti dan terus meningkatkan pencapaian. Minda yang terbangun tidak senang untuk dijajah,” tegas Julita.
Progam bersama pelajar dan kerjasama dengan pihak sekolah di kawasan Matunggong akan diteruskan agar budaya kecemerlangan ini dapat dikekalkan, katanya.
Dalam program yang sama, satu sesi ceramah secara maya (online) juga telah diadakan sebagai persediaan kepada para pelajar memasuki institut pengajian tinggi. Ceramah disampaikan oleh Prof Madya Dr. Bonaventure Boniface, yang dijemput khas oleh Julita.-pr/BNN