KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah mengagihkan sebanyak RM1.2 juta menerusi Program Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) kepada 670 pelajar di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, bantuan BUDI ini adalah antara usaha diambil kerajaan negeri Sabah bagi
membantu pelajar yang meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dan
diploma.

“Pihak Yayasan Sabah menerusi BUDI menyalurkan bantuan one off sebanyak
RM2,000 kepada 479 pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana
muda, manakala sebanyak RM1,500 seorang kepada 168 pelajar peringkat Diploma
serta 23 di peringkat persedian.

“Selain bantuan BUDI, kerajaan negeri turut memberi Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) bagi pelajar yang menduduki peperiksaan SPM, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sebanyak RM200 seorang.

“Inisiatif lain yang turut dilaksanakan katanya ialah pengagihan 10,000 komputer riba
menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) kepada pelajar yang tidak berkemampuan
dan bakal menduduki peperiksaan penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran JPA
dan Bantuan Pendaftaran IPT (BUDI) kepada pelajar B40 di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini pada Khamis.

Yang turut hadir Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Arifin Ariff; Ketua Pengarah
Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Mohd Khairul Adib bin Abd Rahman;
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong;
Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Dr. Zulkapli Mohamed dan Naib Canselor
Universiti Malaysia Sabah, Prof Datuk Dr Taufek Yap.

 

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sentiasa beriltizam bagi memastikan tidak ada
golongan yang tercicir dalam mendapatkan pendidikan yang terbaik dan berkualiti.

Kerajaan amat prihatin terhadap bebanan kos pendidikan yang ditanggung ibu bapa, khususnya golongan B40.

“Setakat ini, bagi bantuan BUDI seramai 1,079 pelajar telah diluluskan daripada lebih
kurang 5,000 yang dijangka menerima faedah ini dengan melibatkan peruntukan
RM10 juta. Bagi bantuan BAKTI pula, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak
RM7.6 juta yang akan memberi manfaat kepada lebih kurang 37,835 pelajar.

“Bantuan BAIK pula, setakat ini sebanyak 7,714 buah komputer riba telah diagih
kepada pelajar terbabit dan selebihnya iaitu 2,272 lagi akan diagih sebelum hujung
bulan ini,” katanya sambil menambah ini adalah antara inisiatif kerajaan negeri bagi
memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima akses kepada pendidikan
berkualiti.

Sambil menegaskan kerajaan amat prihatin terhadap bebanan kos pendidikan yang
ditanggung oleh ibu bapa, khususnya golongan kurang berkemampuan, katanya
kerajaan akan berusaha untuk menambah peruntukan bagi bantuan pembiayaan
pendidikan dan latihan sama ada dalam bentuk biasiswa, geran dan pinjaman.

“Kerajaan sentiasa komited dalam pembangunan modal insan khususnya dalam
menyalurkan sejumlah peruntukan yang besar setiap tahun bagi membangunkan dan
melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi dan seterusnya dapat memberi pulangan

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Perkhidmatan
Awam (JPA) dalam Program Pemberian Dermasiswa, juga telah memperuntukkan
lebih RM40 juta kepada 670 pelajar asal Sabah bagi melanjutkan pengajian dalam
pelbagai bidang di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara.

“Seramai 670 orang pelajar Bumiputera Sabah telah dipilih di bawah program ini dan
seramai 59 pelajar hadir dalam majlis pada petang ini. Pelajar yang telah memperolehi
keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang ini akan mengikuti pelbagai
program dalam pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Diploma.

“Saya meminta pelajar memanfaatkan sepenuhnya peluang diberikan dengan belajar
bersungguh-sungguh kerana anda semua adalah tonggak serta harapan keluarga bagi
membina masa depan yang lebih baik,” katanya.-pr/BNN

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor diiringi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Mohd Khairul Adib bin Abd Rahman (tengah) dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Dr Zulkapli Mohamed (kanan) ketika menyampaikan surat tawaran Penajaan Pendidikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) kepada salah seorang penerima, Hericca Clarra Olin sempena majlis penyerahan surat tawaran Penajaan Pendidikan JPA dan BUDI Pelajar B40 di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu pada Khamis.