KOTA KINABALU: Kerajaan negeri meminta persatuan etnik di negeri ini agar terus
membangunkan kebudayaan, adat dan bahasa etnik masing-masing agar tidak pupus
oleh arus perkembangan pesat dunia globalisasi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata ini penting agar
warisan budaya kepelbagaian etnik di negeri ini akan terus diperkasa dan tidak
terpinggir dalam kemodenan serta teknologi masa kini.

Dalam masa sama katanya, Kementerian Pelancongan, Kebudyaaan dan Alam Sekitar
serta Lembaga Pelancongan Sabah diminta agar mengambil inisiatif untuk mengenal
pasti mana-mana etnik yang mungkin sudah atau semakin pupus di negeri ini tetapi
kaya dengan budaya serta adat resam yang boleh diketengahkan sebagai produk
pelancongan yang bersejarah.

“Sekurang-kurangnya, etnik itu tidak akan pupus begitu sahaja tanpa diketahui
kewujudannya di Sabah. Saya percaya masih banyak lagi budaya daripada segi tarian
dan muzik pelbagai etnik di negeri ini yang belum diketahui.

“Penduduk Sabah sendiri lebih daripada 30 etnik dengan menggunakan lebih 50 bahasa
dan tidak kurang daripada 90 dialek. Ini sejajar dengan hasrat kerajaan negeri yang
mahu lebih banyak warisan budaya yang dimiliki ini diketengahkan bukan saja kepada
dunia luar tetapi juga anak bangsa kita sendiri yang belum mengetahuinya.

“Tarian seperti limbai, sumazau dan magunatip mungkin sudah diketahui ramai tetapi
saya percaya dengan lebih 30 etnik di Sabah, masih banyak lagi warisan budaya lama
yang perlu diselongkar, agar tidak pupus ditelan zaman,” kata Hajiji pada majlis
perasmian Hari Etnik Sabah sempena Hari Jadi Rasmi Ke-68 Tuan Yang Terutama
Yang di-Pertua Negeri Sabah, di sini pada Sabtu.

Majlis itu dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr)
Haji Juhar Bin Datuk Haji Mahiruddin.

Yang turut hadir ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Datuk Seri
Panglima (Dr) Hajah Norlidah Binti Tan Sri Datuk RM Jasni; Isteri Ketua Menteri, Datin
Seri Panglima Hajah Juliah Salag; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Haji
Kadzim Haji M. Yahya dan isteri, Datin Noraini binti Salleh.

 

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah
selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan, Datuk Dr. Joachim Gunsalam dan
Datin Linda Ewit; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk
Jafry bin Hj Ariffin dan isteri Datin Halida binti Bahat; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk
Seri Panglima Sr. Haji Safar Bin Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Dr.
Zulkapli bin Mohammad dan Pembantu Menteri Pelancongan, Datuk Joniston L.
Bangkuai.

Dalam pada itu, Hajiji berharap generasi muda akan mengambil tahu tentang
kebudayaan kaum sendiri bagi membolehkan setiap amalan budaya tradisional terus
kekal.

“Kita tidak mahu keprihatinan terhadap sumbangan seni dan budaya sendiri dilihat
semakin terhakis oleh arus perkembangan pesat dunia globalisasi. Lebih merisaukan
apabila kita kehilangan warisan budaya tradisional begitu sahaja kerana tiada
pewarisnya,” katanya.

Ketua menteri berkata, bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif yang dijalankan
kerajaan memenuhi tuntutan rakyat khususnya di Sabah, pembinaan dasar kesatuan
dalam kepelbagaian etnik secara tidak langsung mampu menjadi tarikan pelancong dari
luar.

“Dengan berkonsepkan kesatuan kepelbagaian etnik maka dapat mengimbangi sektor
pelancongan antaranya menerusi persilangan budaya, adat, bahasa sukuan, peralatan
muzik tradisional, makanan tradisi dan pakaian etnik.

“Usaha ini dilihat mampu menjadi tarikan dalam sektor pelancongan di negeri ini, kerana
pelancongan adalah antara teras utama yang diberi penekanan dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya sambil menambah rakyat Sabah hidup dalam keadaan aman dan harmoni walaupun negeri ini mempunyai lebih 30 dan 217 sub etnik.-pr/BNN

Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar Bin Datuk Haji Mahiruddin
menandatangani plak perasmian Hari Etnik Sabah sempena Hari Jadi rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-68 sambil disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Turut kelihatan ialah
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Joachim Gunsalam (dua dari kanan) yang juga pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Hari Jadi Tuan Yang Terutama dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Haji Ariffin (kanan); Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Safar Untong (kiri), pada majlis yang diadakan di Hotel Hilton Kota Kinabalu pada Sabtu.