TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengingatkan
pemimpin akar umbi, khususnya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan
Kampung (JPKK) agar menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan
dengan penuh dedikasi, jujur, prihatin, adil dan ikhlas.

Katanya, pelantikan mereka menerajui JPKK adalah satu amanah dan tanggungjawab
besar yang perlu dilaksanakan sebaiknya, bagi mewakili suara rakyat di peringkat akar
umbi.

Beliau berkata, pemimpin JPKK juga perlu sentiasa turun padang untuk mengetahui
masalah penduduk di kampung atau mukim masing-masing.

“Jangan jadikan jawatan itu sebagai batu loncatan untuk memikir soal projek semata-
mata, sehingga tidak mahu bekerjasama dengan penduduk kampung, termasuk meminggirkan mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan.

“Sebaliknya kita perlu peka dengan setiap masalah penduduk kampung dan
menyampaikan maklumat berkaitan bantuan kerajaan tanpa pilih kasih”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi,
Setiausaha dan Biro JPKK bagi DUN N.12 Sulaman di Dewan Seri Sulaman, hari ini.

Seramai 47 Pengerusi JPKK menerima watikah pelantikan mereka iaitu 12 orang dari
Mukim Serusup, 14 dari Mukim Indai dan 21 dari Mukim Tambalang.Terdapat
penambahan seramai 13 JPKK di beberapa kampung dan mukim.

Hajiji berkata, pelantikan pemimpin akar umbi termasuk JPKK juga adalah untuk
membantu Kerajaan Negeri merealisasikan hasrat, aspirasi dan pelan pembangunan
Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bermatlamat memulihkan semula ekonomi dan
untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.

“Ia termasuklah membantu kerajaan menyalurkan bantuan kepada penduduk kampung
yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Kerajaan Negeri membelanjakan kira-kira RM1.2 billion untuk membantu rakyat akibat
pandemik COVID-19, termasuk bantuan wang tunai RM300 seorang secara one-off,
bantuan bakul makanan dan lain-lain”.

“JPKK juga memainkan peranan penting untuk memberi penerangan dan menjelaskan agenda pembangunan yang telah dirancang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan
Persekutuan dan Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kepada rakyat di
kawasan masing-masing’, tambahnya.

Justeru, beliau mahu JPKK menunaikan tugas dengan penuh bertanggungjawab agar
rakyat mendapat manfaat daripada setiap bantuan dan pembangunan yang dibawa oleh
kerajaan, selain memastikan perpaduan dan kehormonian rakyat sentiasa terjaga.

Turut hadir di majlis itu ialah Pembantu Menteri Kewangan Negeri, Encik Jasnih Haji
Daya, Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Abdul Kassim Razali,
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Datuk Haji Johari Saiman, Pegawai
Daerah Tuaran, Encik Sadan Hussin dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM)
Sulaman, Tuan Haji Murneh Lamsari.-pr/BNN