KOTA BELUD: Sabah Economic and Education Society (PEPS) komited terhadap usaha membantu meningkatkan pencapaian pendidikan anak-anak Sabah, khususnya di kawasan luar bandar, kata Pengerusinya, Dr.Rafiq Idris.
Katanya, PEPS merupakan NGO yang menyokong dan mendokong usaha Kerajaan dalam aspek pendidikan kepada rakyat.
Beliau berkata, masyarakat luar bandar menghadapi kekangan dalam aspek  untuk mendapatkan ilmu pendidikan disebabkan oleh faktor kemiskinan.
“Hakikatnya pendidikan merupakan aspek yang dapat membantu menurunkan insiden kemiskinan khususnya di kawasan luar bandar.
“Pendidikan juga dapat membantu menjadikan Sabah sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Motivasi Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang anjuran PEPS dan sekolah itu di sini, semalam.
Program itu yang dihadiri kira-kira 200 orang pelajar dan kebanyakkannya secara atas  talian, menampilkan 3 pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) iaitu Dr Rafiq Idris, Dr Syahrudin Ag Ahmad dan Dr Rizal Zamani Idris.
Dr. Rafiq berkata, pelbagai usaha jangka panjang perlu dibuat oleh pelbagai pihak terutama Kerajaan dalam bidang pendidik rakyat, termasuk berkaitan pencapaian pendidikan rakyat di kawasan luar bandar.
Menyentuh Program Motivasi itu, beliau berkata, para penceramah telah berkongsi pengalaman mereka berkenaan pentingnya strategi menghadapi peperiksaan SPM dan STPM pada tahun hadapan, disamping menekankan pentingnya punya cita-cita dan mengenalpasti perkara yang boleh memotivasi diri masih-masing.
“Program ini turut memotivasi peserta untuk menanamkan keazaman  untuk melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading atau universiti.
“Program interaksi di antara peserta dan penceramah telah menyentuh pelbagai hal berkaitan permasalahan belajar di kala pandemik, strategi belajar dan perkara berkaitan kemasukan ke universiti”, tegas Dr.Rafiq.
Sementara itu, Dr.Syahrudin Ag Ahmad berkata, keluarga, rakan dan guru adalah entiti penting yang menyokong usaha ke arah kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan STPM.
“Teknik belajar untuk STPM merangkumi aspek perbincangan dengan guru serta ulangkaji secara intensif tetapi sistematik”.
“Matlamat untuk lulus dalam STPM semata-mata bukan satu tujuan yang betul, yang membantu membina kebijaksanaan seseorg pelajar, tetapi matlamat untuk menimba dan menghayati ilmu itu lebih bermakna dan perlu ditanamkan dalam jiwa dan pemikiran calon-calon STPM”, katanya.
Dr Rizal Zamani Idris pula berpendapat, pelajar perlu mempersiapkan diri mereka sepenuhnya sebelum menduduki sesebuah peperiksaan yang besar.
“Selain  pembelajaran, aspek-aspek lain juga perlu dititik beratkan seperti pemakanan, emosi serta mendapat rehat yang mencukupi”, katanya.
Sementara itu, Pengetua sekolah, Soo Yong Huat dan Penolong Kanan sekolah Cikgu Johnny menzahirkan komitmen sekolah untuk meneruskan tradisi kecemerlangan sekolah, di samping ketersediaan kolaborasi pada masa akan datang.
Dr Rafiq, Dr Syahrudin, Dr Rizal dan Encik  Saiful Azean berharap SMK Narinang akan terus cemerlang di tahun-tahun mendatang.-pr/BNN
Dr. Rafiq (berdiri, 2 dari kiri) bersama penceramah dan peserta Program Motivasi Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang.