KUDAT: Seramai 100 orang mendaftar dalam Kempen Derma Darah “Manahak Raha” yang diadakan di Pejabat ADUN Matunggong, di sini kelmarin.
Bagaimanapun, hanya 49 penderma yang layak menderma atas sebab tertentu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki yang merasmikan kempen tersebut merakamkan penghargaan dan uacapan terima kasih kepada Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Matunggong dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Kudat, Bulan Sabit Merah Kudat; Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Mahkamah Anak Negeri (MAN) Matunggong di atas kejayaan penganjurannya.
“Tanpa kerjasama mereka, program ini tidak akan terlaksana dengan jayanya, syabas dan tahniah,” kata beliau.
Seramai 22 petugas terlibat dalam menjayakan kempen derma darah tersebut.
“Saya gembira dengan sambutan baik yang diterima. Cuma ramai yang tidak layak untuk menderma atas pelbagai sebab,” kata Julita yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.
Beliau berharap program seumpama ini, yang julung kali diadakan, akan dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memberi peluang kepada ramai penderma menunaikan tanggungjawab kepada masyarakat setempat yang memerlukan darah.
Julita, yang turut serta menderma darah, berterima kasih kepada penduduk setempat yang turun menderma darah.
“Derma anda sekurang-kurangnya dapat membantu pesakit yang memerlukan, contohnya pesakit Talasemia. Kudat mempunyai jumlah penghidap Talasemia yang tinggi di Sabah,” ujarnya.-pr/BNN