SOOK: Program Kayuhan Etika Berbasikal merupakan salah satu program yang amat bermanfaat khususnya bagi mereka yang berminat dalam aktiviti kesukanan berbasikal. Demikian kata Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin yang hadir dalam program tersebut yang diadakan di Dewan Masyarakat Sook, Keningau.
“Program yang dianjurkan atas usahasama Kementerian dan Belia dan Sukan Sabah, Bahagian Pedalaman serta bersama-sama dengan beberapa agensi kerajaan ini merupakan satu usaha murni yang amat baik dalam mendidik para penunggang basikal untuk lebih mengutamakan keselamatan dan nyawa mereka ketika membuat kayuhan di jalan raya” kata Ellron ketika ditemubual oleh media.
Beliau dalam pada itu, menyeru agar masyarakat perlulah mengutamakan keselamatan mereka ketika membuat kayuhan di jalan raya hal ini bukan sahaja keselamatan diri sendiri terjamin malah nyawa orang lain juga dapat diselamatkan.
“Saya juga melihat trend terhadap minat berbasikal sekarang ini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, dan melihat bahawa program sebegini adalah wajar dilaksanakan memandangkan ada segelintir rakyat kurang sedar akan aspek keselamatan ketika berbasikal di jalan raya” tambah beliau.
‘Menariknya program ini turut menampilkan Ceramah Berkenaan Salah Laku Jenayah, yang mana ini memberikan ruang dan peluang kepada para peserta untuk menambah pengetahuan mengenai kes jenayah, yang mana ilmu pengetahuan ini seharusnya dititikberatkan oleh masyarakat hari ini” ujar Beliau.
Ellron yang juga ADUN Sook itu hadir untuk menyempurnakan pelepasan para peserta kayuhan basikal. Kayuhan sejauh 20 kilometer yang bermula di Dewan Masyarakat Sook itu memerlukan para pengayuh basikal untuk membuat kayuhan ke Kampung Malima dan kembali ke garisan penamat yang juga di Dewan Masyarakat Sook.
Program yang berlangsung selama dua hari itu bermula dengan Bengkel Etika Keselamatan Berbasikal pada kelmarin 20 November 2021 dan berakhir pada hari ini dengan Program Kayuhan Etika Berbasikal. Untuk Program Bengkel Etika Keselamatan Berbasikal diisi dengan tiga slot ceramah yang berbeza iaitu Ceramah berkaitan keselamatan Jalan Raya, Ceramah berkenaan dengan Salah Laku Jenayah dan Ceramah berkenaan Komponen – komponen Basikal.
Program itu disertai 30 orang peserta yang terdiri para peminat sukan berbasikal serta belia yang berasal dari Daerah Kecil Sook. Pada hari ini (21 November 2021) iaitu Program Kayuhan Etika Berbasikal yang menyaksikan penyertaan seramai 136 peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai Kementerian dan Belia Sukan Sabah, Majlis Sukan Negeri Sabah, serta mereka yang mendaftar secara talian dan walk in.
Program tersebut dianjurkan bersama oleh agensi kerajaan seperti Kementerian Belia dan Sukan Sabah, , Pejabat Daerah Keningau, Pejabat Daerah Kecil Sook, Majlis Daerah Keningau, RTM, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia.
Program tersebut turut dihadiri Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap ADUN N.44 Tulid, YB Flovia Ng, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah Tuan Mansur Asun, Timbalan Setiausaha Tetap 2 KBSSTuan Putera Jali, Pegawai Daerah Keningau, Tuan Walter Kenson serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Sook, Tuan Tony Talasoy dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Tulid Tuan Casmir Silip.-pr/BNN