KOTA KINABALU: Semua pihak diajak supaya berdiri teguh di belakang kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dalam memperjuangkan hak termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, berkata dokongan semua pihak penting bagi memastikan rakyat di Sabah dan rakan di Sarawak, mendapat hak yang sewajarnya.
Katanya, perjuangan dan tuntutan berhubung MA63 ini bukan janji manis di bibir saja, kerana isu MA63 ini sudah menjadi legasi bertahun-tahun.
“Maka sudah tiba waktunya untuk kita mencari titik noktah penamat, agar ia selesai secara muktamad supaya tidak lagi menjadi retorik politik tiap kali tiba musim pilihan raya.
“Kita tidak boleh gentar dalam perjuangan MA63 ini. Sebaliknya, kita harus bersemangat waja, komited dan dedikasi dalam satu acuan pemikiran tanpa mengira kiblat politik, darjat maupun asal-usul,” katanya berucap membahas Belanjawan Sabah 2022.
Sehubungan itu, Ghulam mengajak semua pimpinan politik supaya bergandingan tangan dalam isu tuntutan MA63 ini.
“Saya yakin dan percaya, perjuangan murni kita ini mampu dicapai, kerana kita dikemudi nahkoda yang hebat-hebat, dan dibarisi pula platun-platun terhebat,” katanya
Ghulam yang juga Pengarah Yayasan Sabah optimis bahawa tuntutan perjuangan MA63 ini akan berhasil, malah kini sudah banyak kemajuan dan petanda mengembirakan.
Antaranya termasuk rundingan di antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan Petronas bagi membincang Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang ditandatangani semalam.
“Dengan termeterainya perjanjian itu, ia membawa makna amat signifikan kepada kita di Sabah dalam konteks perolehan dan perkongsian hasil berkaitan minyak dan gas,” katanya, sambil mengucapkan syabas kepada pimpinan negeri Sabah sejak dahulu hingga terkini dalam perjuangan MA63.
Ghulam juga mengalu-alukan persetujuan Majlis Khas MA63 yang memberi kuasa kepada Pengarah Jabatan Perikanan Sabah dan Pengarah Jabatan Perikanan Laut Sarawak bagi melaksanakan urusan pengeluaran permit dan lesen laut dalam bagi vesel penangkapan ikan zon C2.
Begitu juga, kata beliau, dalam sektor pendidikan dan pembangunan infrastruktur, khabarnya persetujuan untuk penurunan kuasa daripada Pusat kepada Negeri Sabah juga sudah dalam fasa-fasa pelaksanaan.
“Semua ini terhasil daripada hubungan baik antara negeri dan Pusat, antara Menara Kinabalu dan Putrajaya — kita sememangnya sehaluan membawa kemajuan, kita sebenarnya senada menjiwai denyut nadi rakyat sesama,” katanya.-pr/BNN