KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tuaran berhasrat bertanding kerusi Parlimen P.170 Tuaran pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Timbalan Ketua Bahagiannya, Datuk Abdul Kassim Razali berkata, berdasarkan kepada kekuatan akar umbi di bahagian itu, BERSATU berada di landasan tepat untuk bertanding kerusi Parlimen Tuaran.
“Melihat kepada pengaruh,sokongan dan kekuatan BERSATU di Tuaran, sudah tiba masanya parti ini meletak calon bertanding pada PRU akan datang.
“Namun BERSATU akan mengadakan perundingan dengan rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi mencapai kata putus untuk mengelakkan pertembungan di antara satu sama lain di Parlimen Tuaran”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelasnya, kekuatan dan sokongan rakyat terhadap Ketua Badan Pimpinan parti, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor selaku Ketua Menteri Sabah turut memberikan kelebihan positif untuk parlimen Tuaran dimenangi oleh BERSATU.
“Kalau melihat kepada sokongan akar umbi dan ahli BERSATU di Bahagian Tuaran ini, kita berada di landasan tepat untuk menuntut kerusi Parlimen P. 170 Tuaran pada PRU ke-15 (PRU-15) nanti.
“Ini juga merupakan permintaan dan kemahuan ahli-ahli kita di peringkat akar umbi”.
“Namun BERSATU Tuaran menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah, selaku Ketua Pimpinan Bersatu Sabah dan juga Ketua Bahagian Bersatu Tuaran berhubung perkara ini”, tambahnya.
Abdul Kassim berkata, BERSATU Tuaran juga terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan di dalam GRS mengenai perkara tersebut.
“Setakat ini, kita juga terbuka menuntut kerusi Parlimen Tuaran untuk ditandingi oleh Bersatu,” katanya.
Sebagai rekod, Parlimen Tuaran kini disandang oleh Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang menang atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan undi 22,494 mengalahkan pesaingnya pada PRU-14.
Tumbangnya BN pada PRU-14 menyaksikan Madius selaku Presiden UPKO bertindak mengetuai UPKO keluar sebagai rakan komponen parti BN dan seterusnya beralih sokongan kepada Warisan-PH.
-pr/BNN
Gambar:
Datuk Abdul Kassim Razali