TONGOD: Daerah Tongod mencatatkan lebih 9,000 pengeluaran geran tanah dan merupakan jumlah tertinggi direkodkan di Sabah dalam tempoh tiga tahun pertama berakhir Disember tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) daerah Tongod telah merekodkan lebih 90 ribu ekar tanah diluluskan kepada penduduk tempatan di daerah itu sejak tahun 2018.
” Sebahagian besar jumlah pemilikan geran itu adalah permohonan tanah adat. Selebihnya, melibatkan hutan simpan yang telah diwartakan sebagai tapak perkampungan, ” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengerusan Tanah (LUC) di pejabat daerah Tongod, semalam.
Setiap permohonan yang memperolehi geran tanah akan mendapat tidak kurang dari 10 ekar dan memberi tempoh sehingga lima tahun bagi mereka mengusahakan tanah tersebut.
Katanya, jika tanah tersebut terbiar tanpa diusahakan melebihi lima tahun, maka kerajaan berhak membatalkan geran pemilikan mereka sambil memberi peluang kepada pemohon lain yang belum memiliki tanah.
Masiung berkata, isu serius membabitkan pertindihan permohonan dan permohonan tertangguh selama lebih 30 tahun juga berjaya diselesaikan menerusi Program Pengukuran Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) yang dilaksanakan oleh JTU.
Semasa merasmikan Program Santai bersama pemimpin di Dewan Kampung Kiliwatong petang semalan beliau mengulangi pendirian untuk membantu mempercepatkan masalah permohonan tanah penduduk yang sekian lama tertangguh.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata setakat ini terdapat lebih 600 permohonan lagi sedang diproses oleh JTU daerah Tongod untuk dianalisa sebelum program penyukatan dibuat.
” Kita akan meneliti setiap permohonan yang dikemukakan dan tidak akan mengambil langkah tergesa-gesa melainkan setelah membuat perincian yang matang terlebih dahulu.
” Kita lebih mengutamakan permohonan warga tempatan dari daerah Tongod sendiri berbanding kehendak syarikat swasta yang bercadang mau membangunkan ladang secara besar-besaran, ” jelasnya.
Masiung turut mengingatkan pemilik tanah yang telah memperolehi geran agar tidak mengambil kesempatan untuk menjual kepada syarikat atau individu dari luar daerah itu.
Beliau memberi amaran, mana-mana pemilik tanah yang didapati menjual tanah adat kepada orang luar, maka mereka akan disenarai hitam dan tidak akan mempunyi peluang kedua.
Beliau menasihatkan, pemilik tanah yang telah memperolehi geran hendaklah membuka tanah mereka untuk program ekonomi.-pr/BNN