KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan membelanjakan RM35 juta tahun ini untuk
melaksanakan inisiatif pembangunan pendidikan yang merangkumi tiga program baharu iaitu BAGUS, BISBAH dan AKSA.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pengenalan Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Anugerah
Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) 2022 adalah selaras dengan komitmen
Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memartabatkan taraf pendidikan Sabah.
Katanya, selepas mengambil alih tampuk pemerintahan, Kerajaan Negeri GRS meletakkan portfolio pendidikan di bawah bidang kuasa Pejabat Menteri Tugas-Tugas
Khas supaya perhatian khusus dapat diberikan kepada hal ehwal pendidikan Sabah.
“Ini tidak bermakna Kerajaan Negeri mengambil alih peranan dan tanggungjawab Persekutuan di Sabah, sebaliknya inisiatif itu adalah untuk melengkapkan program yang
dilaksanakan Kerajaan Persekutuan di Sabah,” katanya di Majlis Penyampaian Bantuan
Bakti dan Pelancaran BAGUS, BISBAH dan AKSA 2022, di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini hari ini.
Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri serius dalam memastikan kanak-kanak di Sabah mendapat bantuan sebaik mungkin dan mencapai kecemerlangan akademik.
“Ini selaras dengan teras kedua pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang diperkenalkan Kerajaan GRS yang memperkasakan modal insan Sabah,” katanya.
Menurutnya, sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk program BAGUS yang
menyaksikan setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di 1,500 sekolah menerima
RM2,000 untuk menjalankan aktiviti masing-masing tahun ini.
Sementara itu, di bawah inisiatif BISBAH, RM12 juta diperuntukkan untuk membantu 1,500 sekolah di seluruh negeri memperoleh komputer, mesin pencetak, peralatan bantuan mengajar, meja dan kerusi, katanya.
“Kerajaan Negeri juga akan memberi pengiktirafan khas kepada pelajar cemerlang
Sabah yang cemerlang dalam akademik.
“Pengiktirafan khas Kerajaan Negeri akan dikenali sebagai Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA),” katanya.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan bantuan lain yang diberikan pada 2021 iaitu BAIK, BUDI dan BAKTI, kata Hajiji yang juga Menteri Kewangan.
Tahun lepas, Kerajaan Negeri meluluskan RM15 juta untuk pembelian komputer riba di bawah program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) bagi membantu 10,000 pelajar yang memerlukan khususnya yang menduduki SPM, STPM dan STAM dalam pengajian dalam talian melalui pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) kerana bilik darjah
ditutup disebabkan pandemik COVID-19.
Kerajaan Negeri membelanjakan sejumlah RM10 juta tahun lepas untuk membantu 5,000 pelajar membayar yuran pendaftaran di bawah Bantuan Wang Pendaftaran IPT (BUDI) dengan mereka yang mengikuti pengajian diploma mendapat RM1,500 dan RM2,000 bagi mereka yang mengikuti kursus ijazah.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri GRS turut memberi RM200 kepada setiap 40,277 pelajar Sabah yang telah mendaftar untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun lepas di bawah Bantuan Khas Tunai.
Program Peperiksaan (BAKTI) menelan belanja
RM8,055,400 juta.
Memandangkan peperiksaan SPM, STAM dan STPM 2021 ditangguhkan ke Mac tahun ini, bantuan BAKTI 2021 telah diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Sabah untuk diagihkan kepada penerima.
Selaras dengan komitmen membangunkan modal insan melalui pendidikan dalam Bajet Negeri 2022, peruntukan sebanyak RM55 juta telah diperuntukkan sebagai biasiswa untuk pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
Keutamaan akan diberikan kepada pelajar yang mengikuti kursus sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi memenuhi permintaan pasaran masa depan,
katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan semua anak Sabahmendapat akses
kepada pendidikan, justeru RM13.9 juta telah diperuntukkan untuk membantu 289,204
pelajar membeli pakaian sekolah, kasut dan alat tulis di bawah Program Bantuan Sosial Sekolah.
Hadir sama Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Hj. Mohd. Arifin Hj. Mohd. Arif, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Dr. Zulkapli Mohamed dan Peguam Besar Negeri, Datuk Nor Asiah Mohd. Yusof.-pr/BNN