SULABAYAN: Pemberian dokumen kepada warga asing langsung tidak akan dapat menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin di Sabah, malahan mungkin masalah itu akan menjadi lebih parah lagi.
Ketua Bahagian N.64 Sulabayan Parti Solidari Tanah Airku (STAR) Bidin Jawa dalam satu kenyataan akhbar hari ini berkata beliau menyokong penuh saranan Presiden STAR Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan agar semua pendatang asing di Sabah harus ditangkap, dibicarakan dan dihantar pulang ke negara masing-masing.
“Kita mahu menjaga kedaulatan negara kita dan keselamatan rakyat kita. Jangan lupa peristiwa Tanduo 2013 di mana tentera asing telah berjaya lolos masuk ke Sabah kerana mereka dibantu oleh pendatang tanpa izin yang sudah lama menetap di sini.
“Ramai yang berkata mereka ini orang yang baik-baik sahaja, tetapi orang yang baik-baik tidak akan masuk ke negara orang lain sewenang-wenangnya tanpa melalui prosedur imigrasi yang betul.
“Tidak. Pendatang asing tanpa izin adalah penjenayah sebaik sahaja mereka mengambil keputusan memasuki negara kita melalui jalan tikus dan tanpa dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Pada masa yang sama, Bidin berkata pendatang asing tanpa izin juga sebenarnya terdedah kepada pelbagai masalah termasuk penderaan dan mudah dieksploitasi oleh orang-orang tertentu.
Ini temasuklah dari segi pekerjaan, tempat tinggal dan tidak kurang juga, dari segi politik, di mana terdapat bukti, seperti yang dilaporkan di dalam Laporan Suruhanjaya Diraja mengenai masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah, yang mereka digunakan sebagai pengundi hantu ketika pilihanraya demi memastikan kemenangan parti-parti tertentu.
“Ada satu parti yang begitu beriya-iya benar mempertahankan pendatang tanpa izin ini sehingga sanggup membuat kembara seluruh Sabah untuk mempromosi pas sementara Sabah. MP mereka malah mengesahkan dalam Parlimen bahawa pemegang-pemegang kad ini akan menjadi warganegara akhirnya.
“Mereka tahu jalan penyelesaian terbaik ialah menghantar mereka pulang sahaja. Tetapi yang lebih penting ialah memastikan mereka tidak mahu kembali ke Sabah buat selama-lamanya lagi atau sekurang-kurangnya, akan masuk ke Sabah melalui poin kemasukan yang sah,”
Bidin berkata parti STAR bukanlah xenofobia tetapi parti itu hanya mahu memikirkan kepentingan dan masa depan anak Sabah yang tulen.
“Kita tidak mahu halatuju masa depan kita ditentukan oleh orang asing yang berjaya menjadi warganegara hanya kerana mereka diperlukan oleh parti-parti politik tertentu untuk kekal berkuasa atau untuk merebut kuasa.
“Saya secara peribadi sangat bersimpati dengan nasib pendatang tanpa izin yang dieksploitasi dan dibiarkan terus-menerus miskin dan merempat dan hanya berguna ketika pilihanraya. Perkara seperti ini tidak sepatutnya dibiarkan terus berlaku,” katanya.-pr/BNN