KOTA MARUDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Hendrus Anding berkata, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah meluluskan beberapa projek pembangunan yang mendesak di daerah ini.
Ini termasuklah pembinaan jambatan tambak Kg. Rasak Laut dan Dewan Serbaguna Kg. Togudon yang amat diperlukan oleh rakyat.
Selain itu, katanya, beberapa projek untuk mengatasi masalah bencana banjir telah juga diluluskan oleh YAB Ketua Menteri.
Kerana itu, beliau menzahirkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan pimpinan YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang terus komited dalam membawa pembangunan kepada rakyat khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek.
“Saya bagi pihak rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek, mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Kerajaan yang memahami kesukaran rakyat di sini,” katanya.
Hendrus berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pusat Daerah Mengundi Tingkalanon yang mempunyai enam cawangan dekat sini, kelmarin.
Hendrus yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan menyeru kepada semua ahli untuk menunjukkan kesetiaan kepada parti serta mengaktifkan program-program di cawangan supaya ahli-ahli terus bersemangat dan menjadi tarikan orang lain.
Hendrus juga mengingatkan semua ahli di peringkat akar umbi parti agar terus berusaha menambah keahlian Parti Bersatu Sabah (PBS) terutamanya daripada golongan muda, termasuk mereka yang berusia 18 tahun. -pr/BNN
Hendrus (empat dari kanan) bersama ahli PBS PDM Tingkalanon.