KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara rasminya didaftarkan sebagai gabungan politik yang sah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau mengumumkan berita baik itu semasa melancarkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDN), pimpinan Datuk Peter Anthony di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
“Saya telah menerima sijil kelulusan pendaftaran GRS pada Jumaat lalu. Pendaftaran ini dibuat sebagai menyahut permintaan rakyat yang ingin melihat GRS bergerak sebagai satu entiti politik yang sah dan rasmi sebagai badan gabungan parti-parti yang ada di Sabah.
“Hasrat kita ialah untuk melihat Sabah terus makmur dengan perpaduan serta kestabilan yang dapat mendorong agenda pembangunan kita.
“Tiada masa yang sesuai selain sekarang ini. Marilah kita hapuskan politik negatif dan remeh temeh. Berbekalkan sumber dan kekuatan, marilah kita bersama-sama
menjunjung mandat yang rakyat telah berikan kepada kita untuk kemakmuran Sabah”, katanya.
Hajiji juga mengalu-alukan minat dan hasrat Parti KDM untuk menyertai GRS.
“Insya Allah saya akan membawa permohonan KDM untuk pertimbangan dan persetujuan rakan-rakan komponen GRS”, tambahnya.
Menyentuh KDM, Hajiji berharap parti itu dapat menjadi wadah berkesan kepada ahli- ahli dan golongan sasar yang diwakili serta bersama dalam agenda pembangunan negeri dan rakyat.
Beliau juga menghargai sokongan Peter dan parti KDM kepada Kerajaan GRS kerana keutamaannya ialah kepentingan negeri dan rakyat yang memerlukan pembelaan dari kerajaan.
“Rakyat telah membuat keputusan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu dengan memberi mandat yang jelas kepada GRS, justeru mandat itu mesti dipenuhi dengan berkerja keras untuk kepentingan mereka.
“Saya berharap dengan sokongan itu, Kerajaan GRS dapat memberi fokus membangun negeri yang tercinta ini dan seterusnya dapat membela nasib rakyat berbilang kaum yang masih jauh ketinggalan”, katanya.
Menurutnya, kestabilan politik dan perpaduan rakyat diperlukan untuk menjayakan usaha membangun Sabah sebagai negeri yang makmur dan maju.
“Oleh itu kita perlu bersama-sama menyumbang untuk kebaikan negeri kita ini. Perjuangan kita belum selesai, masih banyak yang perlu kita lakukan. Rakyat kita masih jauh ketinggalan dan masih lagi kekurangan dari segala kemudahan, walaupun kita sudah merdeka hampir 60 tahun.
“Kerana itu Kerajaan GRS memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan membangun ekonomi mereka”, tegasnya.
Katanya, untuk tujuan itu Kerajaan GRS telah memperkenalkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagai landasaan untuk membawa Sabah bergerak ke hadapan dengan dasar-dasar yang mensasarkan program-program yang membawa kemajuan kepada negeri Sabah, sekaligus dapat membuka ruang pekerjaan yang banyak kepada rakyat dalam pelbagai bidang dan sektor.-pr/BNN