TAWAU: Kerajaan negeri telah meluluskan untuk memberi geran tanah kepada dua perkampungan di kawasan Tanjung Batu iaitu Kampung Budaya Pasir Putih dan Kampung
Tanjung Batu Laut, di sini pada Rabu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah menyerahkan warta kampung itu kepada Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Joseph Pang, sempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Sabah Softwoods Berhad, di Pasir Putih di sini.
“Kerajaan negeri telah meluluskan untuk memberi geran tanah di dua perkampungan di kawasan Tanjung Batu.
“Justeru, dengan pemberian geran tanah ini, rakyat yang tinggal di perkampungan itu tidak
lagi berasa bimbang kerana ia telah dijadikan tanah rizab kampung,” katanya.
Yang turut hadir isterinya, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag; Menteri Pembangunan
Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar
Untong; dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Sr Bernard Liew.
Selain menghadiri beberapa lagi rumah terbuka Aidilfitri termasuk rumah terbuka Keluarga
Titingan dan Parti BERSATU Bahagian Kalabakan, Hajiji turut melawat ke Bangunan
Persatuan Untuk Orang Pekak Tawau dan sempat meluangkan masa bertemu dengan
anak-anak OKU yang belajar di situ serta tenaga kerja persatuan berkenaan.
Sempena majlis itu, ketua menteri turut menyampaikan sumbangan daripada kerajaan
negeri sebanyak RM1 juta bagi pembinaan bangunan baharu persatuan manakala
sebanyak RM50,000 lagi untuk kos operasi pusat berkenaan.
Sumbangan disampaikan kepada Pengerusi persatuan berkenaan, Dr Lo Vun Kong.
Pada malam ini, Ketua Menteri akan mengiriingi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua
Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Bin Mahiruddin ke Majlis Penutupan dan
Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Negeri Sabah
1443H/2022H di Dewan Masyarakat Tawau.-pr/BNN