KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu jentera
Perkhidmatan Awam Kerajaan Negeri Sabah menjadikan tahun 2022 sebagai titik
permulaan terkini dalam lonjakan perubahan ‘mindset’, cara proses kerja, komunikasi
berkualiti dan lebih bermotivasi untuk naikkan imej Kerajaan Negeri Sabah.

Katanya, perkhidmatan awam juga perlu tampil dengan idea-idea lebih bernas dan
berani, agresif membuat penambahbaikan demi Sabah Maju Jaya.

Beliau berkata, ini sejajar dengan matlamat kerajaan Sabah yang memberi tumpuan
kepada usaha mewujudkan negeri yang mesra pelabur bagi menarik pelaburan asing
untuk datang ke negeri ini.

“Kita mahu membawa lebih banyak pelabur datang dan memastikan urusan pelaburan
itu dipermudahkan, sistem penyampaian perkhidmatan awam juga perlu
dipertingkatkan.Langkah itu akan mendorong keyakinan komuniti pelabur antarabangsa
terhadap prospek pertumbuhan, sekali gus dapat meningkatkan kemajuan ekonomi
negeri”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah
(ISAS) tahun 2021 dan melancarkan buku panduan Anugerah Inovasi Sektor Awam
Sabah di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, hari ini.

Hajiji berharap Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Pejabat Setiausaha
Kerajaan Persekutuan dapat aktif berbincang dan membuat kolaborasi strategik bagi
menjadikan 2022 sebagai lonjakan perubahan di negeri ini.

Katanya, Sabah mesti setanding atau menjadi contoh tauladan yang positif kepada
perkhidmatan awam negeri lain. Semua Ketua Jabatan Negeri atau Persekutuan mesti
menjadi contoh utama dalam perubahan ‘mindset’ anggota perkhidmatan awam.

“Ketua Jabatan memainkan peranan yang amat signifikan dalam menerajui Hala Tuju
Inovasi Agensi yang diterajui”, tegasnya.

Menurutnya, Kerajaan menjadikan inovasi sebagai salah satu agenda utama dalam
memperkasakan sektor awam Sabah. Perkhidmatan awam adalah tunjang
pembangunan negeri dan menjadi penggerak utama dalam intipati pelan pembangunan

 

Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025 melalui modal insan dan kesejahteraan
rakyat.

Beliau berkata, pelaksanaan program iSAS 2021 telah membudayakan Inovasi iaitu
menggunakan pendekatan secara hibrid di mana kaedah bersemuka dan secara dalam
talian dipraktikkan mengikut kesesuaian keadaan.

“Selaras dengan inisiatif Hala Tuju SMJ, saya menyokong padu pelaksanaan program
inovasi ini dengan harapan sistem penyampaian dalam perkhidmatan awam negeri dapat
ditambah baik agar perkhidmatan terbaik dapat disampaikan dari semasa ke semasa
dengan lebih pantas dan memberi kepuasan kepada pelanggan.

“Sekiranya kita leka, malas dan sukar untuk mengadaptasi perubahan ini, maka kitalah
yang akan hanyut serta tertinggal di belakang dalam arus digitalisasi pada hari ini.
Sesungguhnya, dalam usaha membudayakan inovasi dalam penyampaian perkhidmatan
awam pada hari ini, penjawat awam perlu lebih peka dan responsif dengan keperluan
rakyat. Tiada guna sekiranya idea berinovasi yang dicetuskan, tidak praktikal atau tidak
selaras dengan kehendak sebenar pelanggan kita”, tambahnya.

Hajiji berkata, kita juga harus menerima bahawa inovasi juga merupakan suatu anjakan
paradigma kepada kemajuan dan kejayaan sesebuah negara yang mampu berdaya saing
sehingga diperingkat global.

“Sabah bukan lagi dalam era 1972, 1982 atau 1992, ayuh semua anggota perkhidmatan
awam di Sabah, kita bangkit bersama dengan semangat 2022, untuk lebih berani ubah
minda dan aktif untuk mencapai Sabah Maju Jaya”, tambahnya.
Beliau juga berharap program inovasi ini dapat dikembangkan skopnya dengan
mengadakan Konvensyen Inovasi Negeri Sabah dengan kerjasama dan penglibatan
perkhidmatan awam negeri serta persekutuan yang akan menjadi pemacu kejayaan
sektor awam Sabah.-pr/BNN