KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, semalam
meraikan sebahagian daripada petugas kesihatan termasuklah doktor, doktor pakar
dan jururawat yang terlibat memberi rawatan serta menangani penularan pandemik
COVID-19 di negeri ini.
“Sudah lama saya mahu mengadakan majlis ini untuk memberi penghargaan kepada
barisan doktor, doktor pakar dan jururawat yang terbabit dalam pandemik ini, termasuk
mereka yang telah merawat saya dan isteri saya di hospital.
“Namun disebabkan ketika itu ada kekangan termasuk pelaksanaan perintah kawalan
pergerakan (PKP), baharu malam ini majlis dapat dilaksanakan. Saya bersyukur malam
ini niat saya kesampaian (tertunai) selepas lebih setahun lebih.
“Saya merakamkan terima kasih kepada semua mereka yang terlibat merawat dan
menangani pandemik itu di Sabah khususnya unit COVID. Sebenarnya, memang ramai
yang terlibat jika dikira sepenuhnya di seluruh Sabah, tetapi malam ini kita buat untuk
yang di Kota Kinabalu dulu setakat ini. Terima kasih kepada semua,” katanya dalam
satu majlis makan malam penghargaan di sini malam tadi.
Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong dan
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin.
Pada majlis itu, Ketua Menteri turut mesra dengan petugas kesihatan yang hadir selain
berpeluang bertemu dengan doktor dan jururawat yang menjaganya dan isteri
sepanjang menerima rawatan.
Ketua Menteri turut melahirkan rasa syukur kerana selepas pelancaran pelan
pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) pada Mac tahun lalu, banyak program
berimpak tinggi sudah mula dilaksanakan.
“Walaupun dilanda pandemik, saya tetap pastikan dasar kerajaan dapat dijalankan
sama ada secara fizikal atau maya. Saya sebenarnya jarang bercakap soal politik di
surat khabar sebab tumpuan saya adalah untuk membangunkan dan memulihkan
semula ekonomi negeri ini.
“Saya rasa kita kini sudah di landasan yang betul dan usaha untuk memulihkan ekonomi
sedang rancak kita laksanakan. Rakyat juga sudah mula menjalankan aktiviti seperti
biasa namun saya berharap kita semua sentiasa menjaga kawalan kendiri,” katanya.-pr/BNN