KOTA KINABALU: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen (PVATTBM) Sipitang hari ini menggesa agar Pegawai Tadbir PVATTBM Sabah diganti.
Ketua Cawangannya, Encik Paris Langup berkata, Pegawai Tadbir persatuan itu, seorang Lt. bersara telah dilantik oleh Yang Di-Pertua PVATTBM Sabah, Dato Zaman Bayang pada akhir tahun lalu.
“Malangnya sejak dia memegang jawatan itu, pentadbiran PVATTBM Sabah tidak tentu arah dan kucar-kacir sehingga menyebabkan kemarahan dikalangan ahli-ahli”.
“Banyak tindakan yang dia lakukan tidak mengikut keputusan yang telah diputuskan dalam mesyuarat pucuk pimpinan AJK PVATTBM Sabah”
“Lebih mengejutkan lagi ialah kami pendapat tahu Pegawai Tadbir perempuan ini mempunyai masalah sakit mental/jiwa”
“Adalah tidak wajar melantik seseorang yang sakit (mental) sebagai Pegawai Tadbir persatuan memandangkan PVATTBM Sabah mempunyai ahli yang teramai di Malaysia”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Paris berkata, pegawai itu tidak layak memegang jawatan itu dan perlu dihentikan serta merta demi kebaikan ahli-ahli dan persatuan.
Beliau berkata, PVATTBM Sabah perlu menyemak syarat-syarat pelantikan pemegang-pemegang jawatan dalam Perlembagaan PVATTBM Pusat. Sama ada dinyatakan “orang sakit jiwa” atau masalah mental boleh dilantik memegang jawatan itu?
Menurutnya, sekiranya perkara ini tidak diambil perhatian atau tindakan oleh pihak kepimpinan PVATTBM Sabah, maka seluruh ahli PVATTBM Sipitang akan menarik diri dari PVATTBM Sabah.
“Kami menggesa pucuk pimpinan PVATTBM Sabah agar segera menamatkan perkhidmatan Pegawai Tadbir itu demi kepentingan dan masa depan persatuan ini”, tegasnya.-pr/BNN